NAJIB   berucap selepas merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2016, malam tadi.
NAJIB berucap selepas merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2016, malam tadi.
Mohd Hafizee Mohd Arop


Bagan Datoh: Datuk Seri Najib Razak mahu rakyat di negara ini terus mempertahankan dan menghargai faktor 4K yang dimiliki supaya nikmat kehidupan dapat terus dinikmati, sekali gus membawa kemajuan kepada negara pada masa hadapan.

Perdana Menteri berkata, faktor 4K yang perlu dihargai nilainya itu adalah keamanan, keharmonian, kestabilan politik dan kemakmuran yang menjadi asas kepada sebuah negara maju dan berjaya di mata dunia.

Katanya, semua nilai itu akan membolehkan masyarakat berada dalam keadaan aman dan harmoni, sekali gus dapat berhimpun untuk menyambut perayaan tanpa perasaan bimbang dengan ancaman keselamatan.

“Nilai keamanan jangan dipandang alpa kerana jika ia tidak dipelihara, sudah pasti kita tidak dapat berkumpul seperti ini untuk meraikan perayaan dan alhamdulillah, walaupun kita tidak bebas sepenuhnya daripada ancaman keselamatan, namun kita masih berjaya mempertahankannya.

“Keharmonian antara kaum juga perlu dipertahankan serta dihargai dan malam ini kita lihat pelbagai kaum hadir pada perayaan ini,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2016 di Padang Sekolah Menengah Hutan Melintang di sini, malam tadi.

Hadir sama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz.

Najib berkata, faktor ketiga yang perlu dipertahankan serta dihargai ialah kestabilan politik supaya keyakinan rakyat terhadap kerajaan semakin bertambah manakala faktor keempat ialah kemakmuran.

Sementara itu, Najib mengumumkan peruntukan kepada Parlimen Bagan Datoh antaranya pembinaan Jambatan Bagan Datoh dan Pasir Salak berjumlah RM350 juta, pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bagan Datoh (RM150 juta), menaiktaraf jalan (RM90 juta) dan pembinaan Politeknik Bagan Datoh berjumlah RM220 juta termasuk Bagan Datoh dinaik taraf sebagai daerah penuh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2016 @ 9:29 AM