MUHAMMAD Nazierul menata rias ibunya.
MUHAMMAD Nazierul menata rias ibunya.
Redzuan Muharam


Klang: "Cemburu juga tengok orang lain ada adik perempuan dan kakak namun saya tetap bersyukur kerana ada abang, juga adik yang sekepala dengan setiap seorang ada kelebihan masing-masing."

Demikian reaksi penata gaya, Muhammad Nazierul Rafie Abdul Rasif, 24, atau mesra disapa Naz ketika diminta berkongsi kisahnya memiliki enam adik-beradik dengan semua lelaki.

Bercerita lanjut, Naz mengakui ada pihak mempersoal kenapa adik-beradiknya semua lelaki ketika kecil.

"Tapi nak dijadikan cerita mama (panggilan untuk ibu) hamil lagi 10 tahun selepas kelahiran adik kelima.

"Jadi kami sekeluarga harap dapat adik perempuan kerana waktu imbasan awal, jantina bayi perempuan namun (dapat) lelaki juga.

"Kecewa, tapi sekejap saja kerana apa yang penting, adik sihat dan kini berusia tujuh tahun," katanya.

Meskipun semua lelaki, Naz berkata, dia dan abang, Muhammad Nazierul Haniff, 27, yang juga pereka fesyen serta pengasas syarikat perancang perkahwinan cenderung kepada seni kerja tangan seperti penataan gaya kerana meminati bidang kecantikan.

Tidak ketinggalan, adiknya, Muhammad Nazierul Imran, 23, juga menyukai bidang berkenaan.

Maka ketiadaan adik-beradik perempuan bukan halangan kepada tiga beradik itu membantu merias ibu, Marizan Yaacob, 47.

Sebaliknya, Naz bersama abang dan adiknya memikirkan persalinan bersesuaian bagi memastikan ibu mereka kelihatan anggun dan bergaya setiap kali menghadiri majlis.

"Sejak sekolah, saya suka siapkan mama, boleh dikatakan setiap kali ada majlis atau kenduri kahwin.

"Biasanya, saya bersama abang sediakan keperluan mama daripada pakaian, beg tangan hingga aksesori dipakai termasuk ketika pagi raya.

"Mulanya mama segan, tapi kini dia yakin dan pernah bersyukur kerana walaupun anaknya lelaki, boleh bantu siapkannya untuk ke majlis.

"Mama pernah cakap dia harap anaknya dapat siapkannya lagi walaupun selepas berkahwin kelak," katanya yang juga tidak ketinggalan membantu bapa, Abdul Rasif Abdullah, 52, memakai sampin setiap kali ada majlis atau pada hari raya.

Menurut Naz, selain potret bersama keluarga, dia kerap berkongsi hasil kerja dan sentuhan buat ibu di TikTok sebagai kenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 6:16 AM