Norizuan Shamsudin dan Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Panik sejurus menyedari kehadiran polis menyebabkan seorang wanita warga asing cuba melarikan diri dengan memanjat keluar melalui tingkap kediamannya di tingkat 10 sebuah kompleks di Bukit Bintang di sini.

Tindakan nekad itu bagaimanapun mengundang padah apabila wanita warga Filipina berusia 32 tahun itu jatuh terhempas dan maut serta-merta.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, wanita itu dikatakan cuba memanjat bahagian bumbung bangunan itu namun tergelincir.

Ketua Cawangan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sentul Mohd Noor Ali berkata, mangsa yang cedera parah di kepala dan tangan tertiarap berlumuran darah.

Menurutnya, enam anggota JPAM dari Cawangan Sentul dan Dang Wangi mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa dari lokasi kejadian.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan.

“Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat mangsa ketika kejadian,” katanya.

Wanita terbabit adalah antara pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dikesan mendiami kompleks itu dalam operasi bersepadu bagi mengesan kegiatan pelacuran dan perjudian.

Seramai lebih 500 anggota penguat kuasa membabitkan beberapa agensi termasuk polis, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) dan JPAM menyertai operasi itu.

Operasi itu bermula pada jam 12 tengah malam dan berakhir pada jam 3 pagi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2016 @ 7:09 AM
MANGSA maut terjatuh dari tingkat 10 ketika cuba melarikan diri.
MANGSA maut terjatuh dari tingkat 10 ketika cuba melarikan diri.