PASUKAN penyelamat  menemui mayat    mangsa  bot karam, semalam.
PASUKAN penyelamat menemui mayat mangsa bot karam, semalam.
Oleh Mohd Rizal Abdullah


Bintulu: Dua lagi mayat ditemui semalam dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bot karam di Sungai Rajang, Long Buyun, Belaga, di sini, dalam kejadian Selasa lalu.

Mayat mangsa ketiga, Nur Amirsha, 4, ditemui jam 5 petang pada jarak enam kilometer dari lokasi kejadian, manakala mayat mangsa kedua, Adriana Rosnah, 12, ditemui jam 2 petang, 200 meter dari tempat nahas berkenaan.

Ketua Polis Daerah Belaga Superintendan Melay Tingom berkata, selepas menerima maklumat berhubung penemuan berkenaan, mayat mangsa diserahkan kepada keluarga untuk tujuan pengecaman dan dihantar ke Klinik Belaga untuk tindakan selanjutnya.

“Pasukan menyelamat kini menggiatkan usaha mencari satu lagi mangsa masih hilang,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Mayat mangsa pertama yang dijumpai Sahirza Mahir, 31, tidak jauh dari lokasi kejadian, jam 10 pagi kelmarin, manakala seorang lagi mangsa yang masih hilang Sumitasen Thomas, 15.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu Di Hata Gobel berkata, operasi SAR mencari mangsa hilang sangat mencabar berikutan arus deras dan jeram berbahaya, selain air keruh.

Menurutnya, operasi membabitkan kekuatan 65 anggota penyelamat daripada pelbagai agensi termasuk polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), selain sukarelawan dalam kalangan penduduk dari rumah panjang berhampiran.

“Selain penggunaan lima bot, operasi SAR turut membabitkan kerjasama Unit Udara Bomba menggunakan dua helikopter MI-17 berikutan kekangan logistik, selain lokasi kejadian terletak di kawasan terpencil.

“Pencarian juga tertumpu di permukaan sungai dan jarak pencarian diperluaskan hingga ke kawasan Sekolah Kebangsaan Nanga dan Punan Bah yang terletak sejam perjalanan menaiki bot dari lokasi kejadian,” katanya.

Dalam kejadian Selasa lalu, bot panjang yang membawa lapan wanita termasuk lima kanak-kanak, karam di lokasi kejadian jam 7 petang.

Pemandu bot dan empat penumpang lain terselamat iaitu Liam Kelilit, 50, Bungan Nyaleng, 50, Agnes Liam, 33, Olivia Ploma Thomas, 8, dan Ayu, 4.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2015 @ 3:04 AM