PLASTIK berisi lumut disumbat kedalam gelung sebelum dijolok  bagi menghalau ikan haruan keluar dari gelung terbabit.
PLASTIK berisi lumut disumbat kedalam gelung sebelum dijolok bagi menghalau ikan haruan keluar dari gelung terbabit.
MUHAMMAD Hisham menunjukkan  ikan haruan yang terperangkap di dalam jut.
MUHAMMAD Hisham menunjukkan ikan haruan yang terperangkap di dalam jut.
MUHAMMAD Hisyam, Muhammad Syafiq dan Ahmad Shahril Hanis menunjukkan ikan haruan yang  ditangkap.
MUHAMMAD Hisyam, Muhammad Syafiq dan Ahmad Shahril Hanis menunjukkan ikan haruan yang ditangkap.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bagan Serai: Setiap tempat mempunyai cara tersendiri dalam aktiviti menangkap ikan terutama pada musim menuai padi dan bagi beberapa pemuda di Matang Gerdu, di sini, aktiviti jolok gelung adalah antara yang paling popular di tempat mereka.

Uniknya cara menangkap ikan yang digunakan amat mudah di mana mereka hanya memerlukan plastik, lumut, buluh panjang dan jaring perangkap yang digelar jut ikan bagi memburu ikan haruan.

Tiga sahabat sebaya, Muhammad Syafiq Azmi, Muhammad Hisham Jamaludin dan Ahmad Shahril Hanis Abd Wahab yang berusia 25 tahun dan kini bekerja di ibu kota menggunakan cuti sempena Aidilfitri kali ini untuk bersama-sama menjayakan aktiviti itu yang sering dijalankan pada zaman kanak-kanak mereka.

Menurut Muhammad Syafiq, cuti perayaannya yang serentak dengan musim menuai padi di sini sangat sesuai untuk aktiviti berkenaan kerana kawasan sawah padi serta parit kering membuatkan dia bersama dua rakan tidak melepaskan peluang untuk menangkap ikan.

Katanya, sebaik tiba di kampung, mereka terus merancang melakukan aktiviti itu bagi mencari ikan haruan berikutan keadaan air yang surut pada musim menuai padi yang sedang berlangsung.

“Sebaik tiba, kami melihat musim menuai padi sedang berlangsung dan dalam masa sama, air di terusan sawah serta parit cetek.

“Kami tidak melepaskan peluang ini dan memulakan aktiviti menjolok gelung pada hari raya keempat sehinggalah hari ini (semalam).

“Alhamdulillah, hasil diperoleh lumayan dan menjadi pendapatan sampingan kami sepanjang berada di kampung,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, Muhammad Hisham berkata, aktiviti jolok gelung itu sangat mudah di mana mereka hanya perlu menyumbat lumut ke dalam bekas plastik lalu dimuatkan ke dalam gelung di parit yang menembusi terusan sawah sebelum dijolok menggunakan buluh panjang.

“Sejurus plastik disumbat dalam gelung dan dijolok menggunakan buluh, permukaan gelung perlu diserkup menggunakan jaring panjang atau digelar jut bagi memerangkap ikan yang keluar dari dalam gelung terbabit.

“Hasil yang diperoleh kadangkala tidak menentu dan bergantung pada nasib namun setiap gelung yang kami jolok tidak hampa, kadangkala memperoleh antara tiga hingga 10 ekor haruan pada satu-satu masa,” katanya.

Menurut Ahmad Shahril Hanis pula, pada musim panas, ikan haruan sememangnya gemar bersembunyi di dalam gelung berikutan suhunya yang sejuk selain berlumpur.

“Setiap hari kami memperoleh antara 20 hingga 40 kilogram ekor ikan haruan yang dijual antara RM8 hingga RM20 sekilogram.

“Sepanjang aktiviti jolok gelung, kami berjaya menjual hampir 150 kilogram ikan haruan kepada peraih dan wang hasil jualan terbabit dibahagi sama rata untuk digunakan sebagai tambang pulang ke ibu kota,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2016 @ 5:44 AM