ORANG ramai tidak melepaskan peluang membeli-belah barangan Courts  Bandar Sri Damansara.
ORANG ramai tidak melepaskan peluang membeli-belah barangan Courts Bandar Sri Damansara.
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Tawaran hebat sehingga serendah RM1 bagi barangan terpilih sempena pembukaan Gudang Courts Bandar Sri Damansara di sini, yang kini berwajah baru menyebabkan orang ramai sanggup berbaris panjang seawal jam 8 pagi bagi menunggu giliran untuk mendapatkan produk terbabit.

Bagi kakitangan kerajaan Che Rosli Mei, 49, berkata, dia bersama isterinya berkunjung ke gudang berkenaan pada jam 9 pagi bagi merebut tawaran istimewa itu yang hanya terhad kepada 120 unit saja.

“Sejak ia dibuka tiga tahun lalu, keluarga saya adalah pelanggan tetap gudang beli-belah ini kerana ia menawarkan pelbagai pilihan barangan daripada jenama terkemuka dunia dengan harga berpatutan.

“Sebaik dimaklumkan mengenai tawaran hebat dengan harga berpatutan sempena pembukaan semula gudang ini selepas pengubahsuaian dijalankan, saya tidak mahu melepaskan peluang untuk membawa keluarga membeli-belah di sini,” katanya ketika ditemui selepas majlis pembukaan semula Gudang Courts Bandar Sri Damansara.

Promosi yang berlangsung selama lapan hari bermula 4 hingga 12 Jun itu menawarkan pelbagai jenis barangan dengan harga murah termasuk bangku plastik, mesin pengisar dan almari kasut.

Menurut Pengarah Pemasaran Courts Malaysia Low Bee Yin, pihaknya mengadakan promosi khas itu bertujuan memberi peluang kepada pelanggan setia mereka mendapatkan barangan terpilih pada harga terendah.

“Kita mahu memberi penghargaan kepada pelanggan yang selama ini banyak memberi sokongan terhadap Courts dengan menawarkan harga serendah RM1 bagi barangan terpilih sempena pelancaran gudang baru terbabit.

“Justeru, kita mahu orang ramai mengambil kesempatan ini dengan memilih Courts sebagai lokasi pilihan untuk berbelanja.

“Malah, kita bercadang untuk melanjutkan tempoh promosi berkenaan kepada dua minggu lagi sempena sambutan Aidilfitri nanti sekiranya mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan,” katanya.

Low berkata, pihaknya melaksanakan inisiatif pengubahsuaian konsep cawangan terbabit bagi memastikan keselesaan pelanggan membeli-belah dengan landskap yang lebih luas.

“Kita menawarkan pelbagai jenis barangan keperluan rumah melalui pilihan jenama terkemuka bagi memastikan pelanggan berpuas hati membelah-belah di cawangan ini selaras dengan perubahan landskap lebih luas.

“Malah, terdapat beberapa ciri baru yang dinaik taraf termasuk menggunakan sistem kod warna bagi setiap jenama dan jenis produk yang dipamerkan untuk memudahkan pelanggan mencari barangan diperlukan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2016 @ 10:52 AM