KENNETH di hadapan Harvey Norman di pusat beli-belah IPC, Mutiara Damansara.
KENNETH di hadapan Harvey Norman di pusat beli-belah IPC, Mutiara Damansara.
Sri Ayu Kartika Amri

Petaling Jaya: Harvey Norman, peneraju keperluan isi rumah global dari Australia terus meluaskan rangkaiannya dengan membuka cawangan baru di Johor Bahru.

Pengarah Urusan Harvey Norman Asia, Kenneth Aruldoss berkata, pihaknya merancang untuk membuka tiga cawangan baru di Johor Bahru yang dua daripadanya akan dibuka tahun ini dan satu lagi menjelang tahun depan.

Katanya, jenama Harvey Norman semakin dikenali di negara ini berikutan barisan produk serta perkhidmatan terbaik yang ditawarkan kepada pelanggan.

“Kami memilih Johor kerana keluaran dalam negara kasar (KDNK) negeri itu dan mempunyai jumlah populasi 3.7 juta orang yang dilihat bagus untuk mengembangkan perniagaan.

“Malah, kami mempunyai rangkaian Harvey Norman di Singapura dan diharap dengan pembukaan cawangan di Johor ini memudahkan lagi masyarakat setempat untuk mendapatkan barangan kediaman mereka,” katanya kepada Bisnes Metro yang ditemui di sini.

Beliau berkata, pihaknya memilih Paradigm Mall (yang akan dilancarkan tidak lama lagi) dan Mid Valley SouthKey bagi membuka cawangan baru Harvey Norman.

Kenneth berkata, pihaknya juga memberi tumpuan kepada pembukaan kedai untuk memberi pengalaman membeli yang lebih menarik kepada pelanggan.

“Rata-rata pelanggan mahu menyentuh dan merasai sendiri barangan yang ingin dibeli. Oleh itu, kami sangat menitikberatkan suasana, susunan produk dan reka bentuk cawangan di mana ia lebih segar, bersih, luas dan banyak pilihan produk dipamerkan.

“Kami yakin cawangan Harvey Norman di Johor bukan saja akan memberi pengalaman membeli-belah baru kepada masyarakat setempat, bahkan memperoleh produk berkualiti tinggi pada harga kompetitif,” katanya.

Menurutnya, pelbagai promosi dan tawaran menarik bakal disediakan untuk pengunjung sempena pembukaan besar-besaran cawangan Harvey Norman di Johor Bahru.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari www.harveynorman.com.
my.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Julai 2018 @ 3:27 AM