ORANG ramai menenangkan ahli keluarga mangsa.
ORANG ramai menenangkan ahli keluarga mangsa.

Hulu Selangor: Dua beranak maut selepas kereta dinaiki terbabas ke sungai berdekatan Jalan Tanjung Malim, Gedangsa, di sini, kelmarin.

Mangsa, Nik Asif Nik Mat, 47, dan anaknya, Nik Afiq Farhan, 18, maut selepas gagal menyelamatkan diri berikutan terperangkap di dalam kereta Perodua Kancil dinaiki mereka.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan R Supramaniam berkata, dalam kejadian jam 10.50 malam kereta berkenaan dipandu seorang lagi ahli keluarga mangsa iaitu Nik Muhammad Fariss Nik Asif, 24.

“Siasatan awal mendapati ketika melalui satu selekoh tajam di sekitar lokasi kejadian, kereta yang dinaiki tiga beranak dari Gedangsa menghala ke Sungai Besar itu dikatakan hilang kawalan lalu terbabas memasuki sungai berdekatan.

“Pemandu kenderaan itu sempat diselamatkan manakala penumpang depan dan belakang meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat lemas,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, Nik Muhammad Fariss tidak cedera dan sempat ditarik keluar anggota bomba sebelum kereta itu dihanyutkan arus deras sungai.

“Mayat kedua-dua mangsa dibawa menggunakan trak polis ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

“Waris keluarga mangsa turut hadir di lokasi kejadian untuk proses pengecaman mayat,” katanya.

Difahamkan, tiga beranak terbabit dalam perjalanan membantu kempen parti dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Besar.

Supramaniam berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2016 @ 11:42 AM