myMetro

Melaka: Sebanyak 178 lokasi berisiko tinggi yang menjadi ‘sarang’ penagihan dadah di seluruh negara akan dibersihkan melalui program My Beautiful Malaysia selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Malaysia (Operasi) Izhar Abu Talib berkata, sebanyak 1,500 ‘sarang’ penagihan dadah di seluruh negara sudah dibersihkan sepanjang tahun 2015 hingga Mac lalu.

“Semua ‘sarang’ penagihan dadah ini berada di 178 kawasan berisiko tinggi yang dikenal pasti di seluruh negara,” katanya pada program My Beautiful Malaysia di Pengkalan Lanjut, Lereh, semalam.

Menurutnya, pihak AADK menerima maklum balas positif daripada penduduk tempatan berikutan indeks jenayah di kawasan mereka menurun selepas operasi dilakukan AADK.

“Program My Beautiful Malaysia membabitkan pelbagai agensi lain termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), organisasi bukan kerajaan (NGO), Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKK), pemimpin setempat dan ketua masjid.

“Kawasan yang kita bersihkan dalam program ini akan dimajukan sebagai tempat kegunaan masyarakat. Contohnya sarang dadah di Krubong, bakal memajukannya sebagai pusat rekreasi berbasikal, senamrobik dan banyak lagi aktiviti kemasyarakatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Johor menjadi antara negeri yang paling tinggi bilangan ‘sarang’ penagihan dadah dikesan pihaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 5:24 AM
PEMBERSIHAN pot penagihan dadah di Kampung Pangkalan Laut.
PEMBERSIHAN pot penagihan dadah di Kampung Pangkalan Laut.