Kota Bharu: Sekurang-kurangnya 110 sarang penagihan dadah di seluruh negara menjadi sasaran untuk dihapuskan melalui program My Beautiful Malaysia (MBM).

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Suhaimi Abdullah berkata, ketika ini hampir 70 peratus sarang penagihan itu dibersihkan dan menjangkakan lebih banyak lokasi lagi akan diserbu.

“MBM adalah program yang baik kerana membabitkan masyarakat pelbagai peringkat dan agensi kerajaan dalam usaha membersihkan kawasan yang berisiko tinggi menjadi sarang penagihan dadah.

“Setakat ini, hampir 70 peratus kawasan sudah dihapuskan dan lebih banyak lagi pada masa depan,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian penutup Kejohanan Futsal Peringkat Kebangsaan di KB Arena Futsal, Pengkalan Chepa, di sini, kelmarin.

Dalam pada itu, Suhaimi berkata, tangkapan penagih dadah di Kelantan bagi lima bulan pertama tahun ini menyaksikan peningkatan iaitu 2,502 orang berbanding 2,426 tempoh sama tahun lalu.

Katanya, sebanyak 71.6 peratus atau 1,752 orang adalah penagih dadah baru, manakala 28.4 peratus atau 710 orang adalah penagih dadah berulang.

“Secara purata mereka yang ditahan adalah golongan muda seawal usia 13 tahun. Peringkat 30 hingga 40 tahun paling tinggi mengatasi kelompok usia lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2015 @ 9:27 AM