MOHD Amin Ali (kiri) bersama Noor Lailee (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada pesakit kanser tulang, Husna Jamal (tengah) pada majlis penyampaian cek kepada Persatuan Ibu Bapa dan Anak-Anak Kanser Malaysia di Wad Padiatrik HKL.
MOHD Amin Ali (kiri) bersama Noor Lailee (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada pesakit kanser tulang, Husna Jamal (tengah) pada majlis penyampaian cek kepada Persatuan Ibu Bapa dan Anak-Anak Kanser Malaysia di Wad Padiatrik HKL.
Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Bagi meringankan keperitan ditanggung pesakit kanser kanak-kanak yang berdepan masalah kewangan dan kemiskinan sehingga menghalang mereka daripada menjalani rawatan, Persatuan Ibu Bapa dan Anak-Anak Kanser Malaysia (PIBAK) menganjurkan Hari Kebajikan Kanak-Kanak Kanser, semalam.

Program yang diadakan di Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) itu bertujuan mengumpul dana bagi membantu meringankan beban keluarga dan ibu bapa pesakit berkenaan, selain memberikan sumbangan kepada mereka yang menjalani rawatan di wad berkenaan.

Presidennya, Mohd Amin Ali Mohd Sidek berkata, melalui program itu, pihaknya berharap dapat memberi kesedaran dan pendedahan kepada masyarakat supaya lebih prihatin untuk menghulurkan bantuan kepada kanak-kanak pesakit kanser.

“Sebelum ini, masyarakat kita terlepas pandang terhadap pesakit kanser kanak-kanak dan tidak ramai tahu sebenarnya mereka sangat memerlukan bantuan bukan saja dalam bentuk kewangan, malah sokongan dan motivasi untuk melawan penyakit itu.

“Program ini juga dianjurkan selepas pihak kami menerima aduan daripada segelintir ibu bapa yang tidak mampu membawa anak mereka mendapatkan rawatan kerana masalah kewangan,” katanya.

Menurut Mohd Amin, Institut Pediatrik HKL adalah pusat rawatan pesakit kanser kanak-kanak pertama di negara ini yang menyediakan pelbagai kemudahan rawatan termasuk sekolah dalam hospital.

“Namun, ada ibu bapa yang berada di luar Kuala Lumpur tidak mampu membawa anak mereka datang ke sini meskipun sudah membuat
temujanji dengan doktor pakar kerana tiada wang sebagai tambang untuk perjalanan mereka.

“Sehubungan itu, melalui sumbangan yang diterima persatuan, kami akan berusaha untuk membantu dan mengagihkan wang berkenaan bagi memastikan mereka dapat menjalani rawatan sempurna,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga mengalu-alukan sumbangan dan bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan, badan korporat atau individu kepada tabung kebajikan PIBAK.

Pada majlis itu, PIBAK menerima sumbangan sebanyak RM10,000 daripada Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) daerah Petaling, Biro Hal Ehwal Wanita RSSB Seksyen 7, Shah Alam dan beberapa individu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2016 @ 9:39 AM