MENCURAH ilmu kepada murid yang sedang sakit (dari kiri) Norzaiti, Zeti Marini, Norhidayah (pembantu pengurusan murid), Mohd Husni dan Ahmad Louqman.
MENCURAH ilmu kepada murid yang sedang sakit (dari kiri) Norzaiti, Zeti Marini, Norhidayah (pembantu pengurusan murid), Mohd Husni dan Ahmad Louqman.
ZAINAB Zainal tidak jemu memberi kekuatan kepada anak kesayangannya, Intan.
ZAINAB Zainal tidak jemu memberi kekuatan kepada anak kesayangannya, Intan.
NORZAITI mengajar dua pelajar tingkatan dua.
NORZAITI mengajar dua pelajar tingkatan dua.
Siti Salmiah A Hamid


Sekali imbas, wajah kanak-kanak yang diperkenalkan kepada penulis di Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL) tiada beza dengan rakan sebayanya yang lain.

Namun, siapa sangka di sebalik wajah ceria dan mudah tersenyum itu, dia menanggung beban kesakitan yang tidak sepadan dengan usianya.

Intan Nurnilam Hamizan, 11, didiagnosis menghidap leukemia (kanser darah) selepas dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban, kerana demam panas pada Jun tahun lalu.

Sejak itu, bermulalah sejarahnya berulang-alik dari rumah ke hospital. Dia kemudian dipindahkan ke Institut Pediatrik HKL bagi meneruskan rawatan kemoterapi.

Menurut ibunya, Zainab Zainal, 34, pada mulanya Intan mengalami tekanan dan sering menangis apabila diberitahu perlu menjalani rawatan kemoterapi.

“Dia faham kemoterapi akan menyebabkan rambutnya yang dulunya panjang beralun gugur sedikit demi sedikit. Malah, dia sangat takut apabila mendengar kemungkinan air tulang sum-sumnya terpaksa diambil.

“Namun, atas nasihat dan sokongan doktor serta keluarga, Intan tabah dan menyedari ketakutan itu perlu dilawan jika mahu segera sembuh,” katanya dari Bandar Seremban Selatan.

Berikutan itu, persekolahan Intan turut terjejas kerana dia perlu banyak berehat selepas menjalani rawatan kemoterapi atau sesudah mengambil ubat-ubatan.

Bagaimanapun, ketika berada di Institut Pediatrik HKL, Intan tidak melepaskan peluang menimba ilmu di dalam wad di Sekolah Dalam Hospital (SDH) walaupun hanya mampu bertahan selama 15 minit pada satu sesi.

Selepas selesai menjalani rawatan kemoterapi, dia kini memulakan sesi pembelajaran di Sekolah Kebangsaan Seremban Jaya 2. Keinginannya tinggi untuk memenuhi sesi persekolahan sepanjang tahun, namun ia bergantung pada tahap kesihatannya.

Pengorbanan sebenar

Intan antara kanak-kanak yang bersemangat tinggi meneruskan sesi persekolahan walaupun perlu berada di wad hospital lebih dari sebulan.

Ia bukan perkara mudah kerana selain sakit, mereka masih dalam tempoh pemulihan tetapi semangat mendapatkan ilmu tidak pernah luntur.

Namun, pendorong utama kanak-kanak yang bersekolah di SDH Institut Pediatrik HKL ialah guru dan kakitangan yang banyak memberi sokongan.

Seorang guru, Ahmad Louqman Wahab berkata, sehingga awal tahun ini seramai 147 murid mendaftar di Institut Pediatrik HKL merangkumi prasekolah seramai 11 orang, sekolah rendah (100) dan sekolah menengah (36).

“SDH Institut Pediatrik HKL menawarkan pembelajaran sama seperti di sekolah kerajaan. Apabila menjalani rawatan yang mengambil masa lama sehingga adakalanya lebih sebulan, mereka digalakkan meneruskan pembelajaran di sini.

“Cuma ia bergantung kepada tahap kesihatan pesakit. Jika pesakit menghadapi penyakit seperti demam, mereka boleh belajar dan mengambil peperiksaan di dalam kelas berbanding pesakit kanser yang belajar hanya di dalam wad.

“Sesi pembelajaran juga tidak mengambil masa lama untuk satu-satu subjek kerana pesakit tidak mampu bertahan jika duduk lama di dalam kelas atau diberi soalan bertalu-talu. Justeru, pesakit kanser dihadkan hanya 15 minit untuk setiap subjek,” katanya yang mengajar subjek Sains dan Matematik.

SDH Institut Pediatrik HKL memiliki tujuh tenaga pengajar berwibawa yang sanggup berhadapan risiko dan cabaran mempersiapkan pesakit dengan ilmu dan pelajaran.

Guru yang tidak kenal erti jemu ini sentiasa mendorong murid agar terus menimba ilmu walaupun mengahadapi masalah kesihatan.

Sekalung penghargaan buat Sharifah Haslina Syed Abd Hamid yang mengajar Bahasa Inggeris, Zeti Marini Abd Manan (Matematik), Norzaiti Md Noor (Sains), Ahmad Louqman (Sains), Mohd Husni Abd Halim (Bahasa Melayu) dan Logavalli (Matematik).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2016 @ 2:32 PM