ABU Johar membalut gula kabung menggunakan daun pokok kabung muda yang dikeringkan.
ABU Johar membalut gula kabung menggunakan daun pokok kabung muda yang dikeringkan.
Syah Rul Aswari Abdullah

Kuala Lipis: Tidak ramai memiliki kesabaran dan kemahiran memanjat dan mengerat mayang kabung untuk mendapatkan air nira sebelum diproses menjadi gula kerana pekerjaan itu memerlukan kesabaran.

Malah, ada beberapa petua dan pantang larang yang sentiasa diamalkan pengusaha gula kabung di Kampung Peruang, Benta, di sini, yang diwarisi nenek moyang mereka.

Pokok kabung adalah spesies palma berasal dari Indonesia atau dikenali juga sebagai pokok enau atau nama saintifiknya, Arenga Pinnata.

Ia berbeza dengan spesies palma lain dari segi semakin matang dan tinggi batangnya, tandan bunga serta buahnya pula tumbuh di bahagian yang lebih bawah.

Apabila tandan yang tumbuh di batang itu semakin hampir ke tanah, ia menandakan pokok kabung berkenaan sudah tua dan akan mati.

Ini berbeza dengan spesies palma lain iaitu pokok kelapa dan rumbia kerana tandan bunga dan buahnya tumbuh meninggi sejajar dengan usia dan kematangan pohon berkenaan.

Bagi pengusaha gula kabung di Kampung Peruang, kebanyakan daripada mereka percaya dengan pokok kabung dikatakan hanya mengeluarkan nira daripada tandannya apabila menerima ‘pujukan’.

Ia bermaksud mereka perlu mengetuk-ngetuk batang tandan itu dari atas dan bawah masing-masing dua kali sehari.

Pengusaha gula kabung, Abu Johar Sudin, 59, berkata, sebelum mayang mengeluarkan niranya, ia perlu diketuk dulu dua kali sehari selama beberapa hari.

Katanya, selepas dua minggu, proses itu diulang sekali lagi dan barulah mayang itu dipotong bagi mendapatkan niranya.

“Setiap mayang boleh bertahan tiga bulan kerana dipotong sedikit demi sedikit sebelum kami beralih ke pokok lain,” katanya ketika ditemui, di sini, baru-baru ini.

Tidak semua tandan pokok kabung mengeluarkan nira kerana hanya tandan bunga jantan yang boleh mengeluarkan air nira.

Secara saintifiknya, tujuan mengetuk batang tandan itu untuk melonggarkan rongga saluran aliran nira berkenaan.

Sebelum batang tandan bunga jantan dicantas, ia perlu dibersihkan daripada sisa kekotoran di bahagian kelopaknya.

Pengusaha nira menghiris bahagian hujung tandan yang dicantas itu pada waktu pagi dan petang sehingga aliran niranya deras dan masuk ke dalam tabung buluh yang dipasang.

Menurut Abu Johar atau lebih dikenali sebagai Pak Unta, dia menggunakan akar laru yang direndam dalam tabung buluh bagi mengelakkan air nira menjadi masam.

“Akar kayu ini mudah didapati di sekitar kampung kerana menjalar. Saya bawa setiap hari apabila menukar dan menggantikan tabung buluh pada pokok kabung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2016 @ 9:03 AM