SANIJO  bersama Markina  dan  Mohd Romli menunjukkan baju yang dipakainya  ketika kejadian dihanyutkan arus deras.
SANIJO bersama Markina dan Mohd Romli menunjukkan baju yang dipakainya ketika kejadian dihanyutkan arus deras.
Oleh Amrullah Abdul Karim


Rawang: “Saya tidak mampu capai apa-apa hinggalah sampai ke lubang besar dan dapat memegang besi penutup longkang,” kata Mohd Romli Sanijo, 11, menceritakan detik cemas dia dihanyutkan arus deras di longkang besar di Persiaran Kota Emerald, Emerald East, di sini, Sabtu lalu.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana tersekat di lubang utama longkang bersebelahan bulatan Persiaran Kota Emerald kira-kira 120 meter dari tempat terjatuh.

Dia berkata, ketika dihanyutkan arus deras, dia hanya sempat bernafas seketika apabila arus menolaknya ke permukaan.

“Saya bernafas dua tiga kali saja sebab itu saya rasa hampir lemas terutama ketika berada di laluan bawah tanah.

“Namun saya bernasib baik kerana sekejap saja saya sudah sampai dan tersangkut di lubang utama itu sebelum saya memegang besi sekuat hati sambil meminta tolong,” katanya.

Mohd Romli berkata, pada mulanya dia hanya bermain air di dalam longkang depan Surau Al Muhtadin selepas melihat air laju kesan daripada paip pecah di Tangki Air Sedutan Emerald.

Bagaimanapun, selipar yang dipakainya tiba-tiba dihanyutkan arus.

“Saya berlari sebab mahu ambil selipar itu kerana takut emak marah, tetapi saya tergelincir,” katanya yang hanya mengalami lebam pada kaki dan calar badan.

Sementara itu, bapanya, Sanijo Burhan, 53, berkata, dia kebetulan berada berdekatan lokasi itu sebelum bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, ketika sampai di lokasi, seorang ustaz sedang memegang erat tangan anaknya sementara bomba berusaha menyelamatkan anaknya.

“Kami pegang tangannya kira-kira 15 minit sebelum dia berjaya dibawa keluar dari longkang besar itu,” katanya.

Ibu Mohd Romli, Markina Osman, 37, berkata, dia bersyukur kerana Allah melindungi anaknya.

“Kalau tidak entah sampai mana anak saya dihanyutkan arus dan mungkin tiada siapa dapat menemuinya,” katanya.

Detik menyelamatkan Mohd Romli oleh penduduk bersama sepasukan anggota bomba yang dirakam penduduk menjadi viral selepas dimuat naik ke Facebook (FB).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2016 @ 7:14 AM