operasi pemadaman api di Keningau menggunakan kaedah ‘bom air’ giat dijalankan.
operasi pemadaman api di Keningau menggunakan kaedah ‘bom air’ giat dijalankan.
Oleh Ardyhansah Amat


Keningau: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri memadamkan api dari udara menggunakan kaedah bom air bagi mengawal kebakaran hutan daripada terus merebak terutama di sekitar daerah ini.

Pengarah JBPM Sabah Nordin Pauzi berkata, helikopter jenis Mi-17 digunakan untuk mengangkut ‘bambi bucket’ pada operasi bermula jam 11 pagi itu.

“Kami menggunakan kaedah ini untuk mengawal api berikutan lokasi kejadian jauh di dalam hutan berbukit yang sukar dilalui melalui jalan darat.

“Sepanjang operasi, anggota mengambil air dari Sungai Pegalan dan kawasan takungan berhampiran sebelum digugurkan ke lokasi kebakaran,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Nordin, melalui kaedah itu, api di kawasan hutan di Keningau dapat dikawal akibat kebakaran yang berlaku sejak minggu lalu.

“Kaedah operasi udara ini bukan perkara mudah kerana ia memerlukan perancangan teliti bagi memastikan keberkesanannya memandangkan ia membabitkan kos tinggi selain berisiko.

“Namun kaedah ini adalah yang paling sesuai berdasarkan lokasinya yang sukar dimasuki,” katanya.

Nordin berkata, kaedah itu hanya sesuai digunakan bagi kebakaran membabitkan pokok tinggi dan tidak sesuai dilakukan di tanah gambut.

Sementara itu, Nordin berkata, pihaknya turut meninjau beberapa lokasi kebakaran lain termasuk di Papar dan Nabawan.

“Memang ada laporan kebakaran di Papar dan Nabawan, namun ia boleh dikawal melalui operasi di darat.

“Ini kerana kawasan itu membabitkan tanah gambut dan memerlukan pemantauan lebih lama berikutan struktur tanah terbabit yang mampu menyimpan api,” katanya.

Katanya, sehingga semalam, 1,279 kes kebakaran dilaporkan berlaku di seluruh negeri sepanjang tahun ini.

“Jumlah ini meningkat 207 kes berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2016 @ 6:56 AM