Helikopter Mi17 digunakan dalam operasi memadam kebakaran di hutan tanah gambut di Gebeng, esok. FOTO Mohd Rafi Mamat
Helikopter Mi17 digunakan dalam operasi memadam kebakaran di hutan tanah gambut di Gebeng, esok. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjangkakan mengambil masa antara tujuh hingga sembilan hari untuk memadam kebakaran menggunakan dua helikopter di kawasan hutan Gebeng, di sini dan Rompin.

Pengarah JBPM Pahang Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, kebakaran di kawasan Gebeng membabitkan hutan tanah gambut seluas empat hektar sahaja.

Bagaimanapun menurutnya, kebakaran hutan tanah gambut di Rompin membabitkan beberapa kelompok api yang merebak dengan cepat dalam kawasan seluas lebih 180 hektar.

Katanya, kebakaran terbuka selain angin kencang dan kawasan hutan tanah gambut yang kering menjadi faktor utama menyebabkan api cepat merebak hingga sukar dikawal.

"Kita menerima bantuan Bahagian Udara Ibu Pejabat JBPM yang membekalkan dua unit helikopter digunakan untuk meninjau seterusnya aktiviti pemadaman kebakaran di kawasan Gebeng dan Rompin.

"Helikopter Mi17 akan digunakan memadam kebakaran di Gebeng dan helikopter jenis Agusta digunakan Rompin. Operasi memadam kebakaran di dua kawasan terbabit bermula esok," katanya meninjau kebakaran di daerah ini dan Rompin, hari ini.

Beliau berkata, operasi memadam kebakaran di Gebeng dijangka mengambil masa dua hingga tiga hari, operasi memadam kebakaran di Rompin dijangka antara empat hingga lima hari.

Wan Mohammad Zaidi berkata, kebakaran di kawasan hutan tanah gambut di Inderapura yang berlarutan hingga 11 hari kini hampir padam sepenuhnya, pemantauan tetap dilakukan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2024 @ 9:20 PM