OPERASI pemadaman api di Keningau menggunakan kaedah 'water bombing'. FOTO ihsan JBPM
OPERASI pemadaman api di Keningau menggunakan kaedah 'water bombing'. FOTO ihsan JBPM
Ardyhansah Amat


Keningau: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menggunakan kaedah memadamkan api dari udara atau 'water bombing' bagi mengawal kebakaran hutan di daerah ini, di sini, hari ini.

Dalam operasi yang bermula jam 11 pagi itu, helikopter jenis jenis MI 171 yang membawa 'bambi bucket' digunakan untuk mengambil air di sungai berhampiran sebelum dilepaskan di lokasi kebakaran.

Pengarahnya Nordin Pauzi berkata, pihaknya terpaksa menggunakan kaedah itu dalam usaha mengawal kebakaran di Keningau memandangkan kejadian berlaku di kawasan hutan dan berbukit yang sukar dilalui menggunakan jalan darat.

"JBPM mengambil air dari Sungai Pegalan dan takungan air di kawasan berhampiran sebelum dibuang di lokasi kebakaran.

"Setakat ini api di hutan Keningau dapat dikawal selepas kebakaran berlaku sejak awal minggu lalu," katanya kepada media.

Menurutnya, sehingga hari ini sebanyak 1,279 les kebakaran dilaporkan berlaku di Sabah dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini berbanding 1,072 dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2016 @ 4:29 PM