POLIS mengesan waris lelaki yang bertatu helang dan harimau di lengan. FOTO Ihsan PDRM
POLIS mengesan waris lelaki yang bertatu helang dan harimau di lengan. FOTO Ihsan PDRM
Siraj Mohd Zaini


POLIS mengesan waris kepada mayat seorang lelaki yang ditemui dalam keadaan tertiarap di Jalan Sultan Abdul Samad 40, Bandar Sultan Sulaiman, Klang, 25 April lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, mayat berkenaan ditemui tanpa pengenalan diri serta sudah mula mereput.

“Terdapat kesan tikaman di badan si mati, dan dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dibuang di lokasi kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mangsa adalah seorang lelaki dewasa, tinggi hampir 177 sentimeter (cm) serta memakai singlet berwarna kelabu dan seluar jeans pendek.

“Mangsa mempunyai tatu berbentuk harimau di lengan kanan dan tatu berbentuk helang di lengan kiri.

“Sehingga kini tiada waris atau pihak yang tampil bagi mengenal pasti identiti mangsa untuk membantu siasatan,” katanya.

Nurulhuda berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes Asisten Superintendan Harjinder Singh di talian 016-2576565/03-3290222 atau balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 11:34 AM