Nur Saliawati Salberi


POLIS menumpaskan sindiket pengedaran dadah terbesar selepas menahan tiga lelaki dan merampas 201.3 kilogram (kg) dadah disyaki syabu bernilai RM14.1 juta dalam serbuan di Ayer Keroh, Sabtu lalu.

Semua dadah yang dibungkus menggunakan pembalut teh Cina itu ditemui sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman dalam serbuan di sebuah rumah yang terletak dalam kawasan perumahan elit pada 4 petang.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, siasatan awal mendapati sindiket didalangi warga tempatan berusia 32 hingga 47 tahun itu menjual syabu berkenaan untuk pasaran tempatan dan negara jiran.

Katanya, siasatan juga mendapati sindiket terbabit sudah lama bergiat aktif, bagaimanapun lokasi terbaru serbuan itu dijadikan stor simpanan sejak dua bulan lalu.

“Semua dadah ini dirampas di lokasi pertama bersama dua suspek, sebelum polis menahan seorang lagi lelaki di kawasan berhampiran.

“Pemeriksaan di lokasi serbuan menemui lebih 190 peket dadah disyaki syabu yang dibungkus menggunakan pembalut teh Cina dengan berat setiap satunya melebihi satu kg.

“Polis turut merampas Toyota Hilux, Toyota Vios dan Proton Waja bernilai kira-kira RM150,000 serta wang tunai RM450,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Negeri Datuk Abd Jalil Hassan.

KENDERAAN dan wang tunai yang dirampas daripada suspek. FOTO Khairunisah Lokman
KENDERAAN dan wang tunai yang dirampas daripada suspek. FOTO Khairunisah Lokman

Mohmad berkata, bekalan dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh kira-kira sejuta penagih, selain turut dipercayai dibawa masuk dari negara jiran yang terletak di utara tanah air.

“Pemeriksaan juga mendapati, dua suspek yang ditahan di lokasi pertama positif dadah dipercayai methamphetamine. Ketiga-tiga mereka yang tiada rekod jenayah direman sehingga Sabtu ini,” katanya.

Pada 17 Februari lalu, JSJN Melaka menumpaskan sindiket pengedaran dadah apabila dadah yang juga dibungkus menggunakan pembalut teh Cina bernilai RM3.7 juta dirampas di sebuah rumah di Malim.

Selain dadah disorokkan dalam tong ais, polis turut menahan lapan suspek warga tempatan, termasuk tiga wanita berusia antara 20 hingga 31 tahun dalam dua serbuan antara 2.30 pagi hingga 6.30 petang.

Antara dadah yang dirampas adalah 52.82 kg syabu, 33 gram ketamin dan sebiji pil ecstacy.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Mac 2018 @ 7:08 PM
MOHMAD (tengah) dan Abdul Jalil (dua dari kiri) menunjukkan rampasan bungkusan teh dari China mengandungi dadah dipercayai syabu bernilai RM14.1 juta di Ibu Pejabat Polis (IPK) Melaka di Bukit Beruang, hari ini. FOTO Khairunisah Lokman
MOHMAD (tengah) dan Abdul Jalil (dua dari kiri) menunjukkan rampasan bungkusan teh dari China mengandungi dadah dipercayai syabu bernilai RM14.1 juta di Ibu Pejabat Polis (IPK) Melaka di Bukit Beruang, hari ini. FOTO Khairunisah Lokman