FADHIL Mohd Isa yang lebih dikenali sebagai 'Cardock'. FOTO Mohd Roji Kawi
FADHIL Mohd Isa yang lebih dikenali sebagai 'Cardock'. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi


Sibu: Youtuber 'Cardock' kesal dituduh rasis hanya kerana memperjuangkan hak Bumiputera sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12) sejak seminggu lalu.

Cardock atau nama sebenarnya Fadhil Mohd Isa, 37, berkata lebih mengecewakan apabila tuduhan itu datang dari kalangan Bumiputera sendiri.

Malah katanya yang bertanding sebagai calon Bebas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong, beliau terkilan apabila ada yang mempersoalkan bapanya yang berasal dari Semenanjung.

"Tidak faham mengapa mereka menuduh demikian hanya kerana sepanjang tempoh berkempen atau sebelumnya lagi saya memperjuangkan hak Bumiputera.

"Mereka menuduh saya rasis kerana merayu undi Bumiputera bagi memperjuangkan hak mereka di Dudong yang sering dipinggirkan wakil rakyat bukan Bumiputera sebelum ini.

"Kalau tuduhan itu datangnya dari bukan Bumiputera, saya faham, namun ia datang dari mereka sendiri," katanya.

Cardock mengakui bapanya berasal dari Semenanjung, namun ibunya adalah anak jati Sarawak berbangsa Iban berasal dari Pasin manakala isterinya pula berdarah campuran Cina.

Sebagai YouTuber, Cardock memanfaatkan sepenuhnya media sosial untuk menjelaskan tawarannya kepada pengundi di Dudong.

Menurutnya, sebahagian besar kawasan DUN Dudong berada di kawasan luar bandar dan masih jauh ketinggalan berbanding kawasan bandar yang berada di dalam DUN sama.

"Saya menggunakan media sosial untuk memperjuangkan keperluan asas di kawasan luar bandar di Dudong seperti bekalan air, elektrik, internet serta kemudahan lain yang masih belum diterima.

"Itu yang saya perjuangkan, namun ada yang memperlekehkannya," katanya.

Kerusi DUN Dudong menyaksikan paling ramai calon bertanding pada PRN-12 dengan lapan orang membabitkan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Bumi Kenyalang (PBK), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB), DAP, serta dua calon Bebas termasuk Cardock.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 1:33 PM