MUNUSAMY
MUNUSAMY
Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Baru dirasmikan pembukaannya dua hari lalu, namun sudah diserbu polis. Itu antara tindakan tegas diambil polis terhadap sebuah premis perjudian yang dikesan beroperasi di Jinjang Selatan di sini.

Dalam serbuan jam 8.45 malam kelmarin, sepasukan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul melakukan serbuan di premis itu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki yang juga penjaga premis berusia 37 tahun.

Menurutnya, serbuan dilakukan selepas pihaknya menyamar sebagai pelanggan berikutan kawalan ketat terhadap premis judi baru dibuka itu.

“Kami menahan seorang pelanggan berusia 39 tahun dan merampas sembilan komputer dipercayai digunakan untuk pertaruhan judi.

“Siasatan mendapati premis ini baru dibuka operasi kepada orang ramai. Namun hanya pelanggan terpilih sahaja dibenarkan memasuki premis,” katanya.

Beliau berkata, pemilik premis turut memasang kamera litar tertutup (CCTV), menggunakan pintu berkunci automatik dan cermin gelap bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.

Katanya, penjaga itu diambil tindakan mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Munusamy memberitahu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan perjudian di kawasan mereka boleh menyalurkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2016 @ 9:48 AM