KEADAAN dalam pusat judi siber yang serba mewah.
KEADAAN dalam pusat judi siber yang serba mewah.
Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Pusat judi diubah suai tidak ubah seperti kubu askar lengkap dengan beberapa pintu sulit dan puluhan kamera litar tertutup (CCTV). Itu antara taktik digunakan sindiket judi siber yang dikesan mula aktif menghidupkan semula kegiatan haram.

Malah, sindiket itu dikesan menggunakan pintu besi tebal dipasang alat kawalan jauh bagi menyukarkan pihak berkuasa memecahkan pintu itu ketika serbuan dilakukan.

Taktik itu dibongkar polis susulan serbuan dilakukan terhadap empat premis judi siber di Jalan Gombak dan Batu Caves di sini, jam 9 malam kelmarin.

Ketua Penolong Pengarah Skuad Taktikal Khas Antimaksiat, Perjudian dan Gengsterisme (STAGG) Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, sepasukan anggota STAGG berjaya membongkar dan memecah masuk premis judi itu hasil perancangan rapi dilakukan.

Menurutnya, seramai 36 tahi judi membabitkan 31 warga tempatan dan lima warga asing ditahan dalam serbuan mengejut itu.

Beliau berkata, polis turut menahan 15 individu dipercayai penjaga pusat judi itu yang baru memulakan operasi sejak beberapa bulan lalu.

“Semua suspek berusia 23 hingga 48 tahun yang ditahan itu adalah tahi judi tegar. Biarpun premis judi siber itu menyediakan pintu khas di bahagian belakang bangunan bagi memudahkan pelanggan melarikan diri, namun semua suspek berjaya ditahan.

“Penjaga premis itu dilengkap kemudahan monitor CCTV dan alat kawalan jauh bagi membolehkan pintu masuk premis dibuka hanya pada individu tertentu,” katanya.

Khairi berkata, polis berjaya merampas 122 komputer, 10 modem, enam komputer utama, alat kawalan jauh dan wang tunai berjumlah RM12,626 hasil serbuan itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati premis judi itu dipercayai menjalankan kegiatan secara ‘on-off’ sejak tiga bulan lalu.

Katanya, semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini, untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 55 (E) Akta Imigresen 1959.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2015 @ 7:02 AM