Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari (belakang dua kanan)  bersama  pelajar selepas penyerahan wisel pada Program Maju Diri di SK Raja Muda, Seksyen 4, Shah Alam.
Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari (belakang dua kanan) bersama pelajar selepas penyerahan wisel pada Program Maju Diri di SK Raja Muda, Seksyen 4, Shah Alam.
Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Sekolah Kebangsaan Raja Muda (Integrasi) di Seksyen 4 di sini, mengedar wisel kepada muridnya sebagai alat bantuan keselamatan jika dihampiri individu yang mempunyai niat untuk melakukan jenayah terhadap mereka.

Ia cetusan idea Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

Yang Dipertua PIBG sekolah itu, Mohd Zikrul Hakim Noor berkata, kes cubaan culik yang kerap berlaku terutamanya di sekolah rendah mencemaskan ibu bapa.

“Satu perbincangan antara PIBG dan JKM diadakan untuk mencari jalan penyelesaian bagi masalah ini.

“Kami kemudiannya sepakat untuk menggunakan wisel sebagai langkah awal membendung kejadian culik,” katanya ketika ditemui pada Program Maju Diri (PMD) bersama JKM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan iM4U, semalam.

Mohd Zikrul berkata, PMD dianjurkan untuk memberi tunjuk ajar kepada murid aspek penggunaan wisel berkenaan dengan betul.

“Taklimat keselamatan yang disampaikan wakil JKM dan PDRM diharap dapat mencegah kejadian culik membabitkan murid serta pelajar sekolah.

“Kami juga berterima kasih kepada UMNO Bahagian Shah Alam kerana sudi menyumbang 1,500 wisel kepada murid sekolah ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Sukarelawan JKM Shah Alam Mohd Tarmizi Abdul Wahab berkata, wisel dipilih untuk digunakan kerana ia mudah difahami oleh murid.

“Ia perkara paling mudah untuk diajar kepada anak-anak kita. Kita perlu pastikan wisel berkenaan sentiasa berada dalam simpanan anak-anak sebagai langkah keselamatan jika dihampiri individu tidak dikenali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2016 @ 8:07 AM