PAKAIAN yang terkumpul harus dalam keadaan baik, digosok, dicuci dan digantung sebelum disumbangkan.
PAKAIAN yang terkumpul harus dalam keadaan baik, digosok, dicuci dan digantung sebelum disumbangkan.
Faliq Lajim


Shah Alam: Setiap pakaian dan barangan kelengkapan sekolah hendaklah dalam keadaan baik, dicuci, digosok serta digantung terlebih dulu.

Itu syarat yang dikenakan sekumpulan ibu dari Sekolah Kebangsaan (SK) Setia Alam di sini, sebelum menerima sumbangan kelengkapan sekolah untuk dikumpul dan diserahkan kepada mereka yang memerlukan.

Rosmah Ismail, 39, yang mengetuai program berkata, konsep khidmat masyarakat itu tercetus daripada sekumpulan ibu kepada murid di sekolah itu dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Setia Alam bagi membantu meringankan beban ibu bapa yang kurang berkemampuan.

Katanya, syarat yang dikenakan itu bagi memastikan emosi kanak-kanak tidak terganggu apabila melihat rakan sekolah lain memakai pakaian serba baru.

“Oleh itu, kami mahu jaga kualiti sumbangan yang diberikan. Baju, kasut dan beg mestilah dalam keadaan bersih. Tiada kesan koyak atau sudah usang.

“Bagi mereka yang mahu mahu menyumbang baju pula mesti hantar pakaian dalam keadaan yang sudah di dicuci, digosok dan digantung sebelum dihantar ke tempat pengumpulan,” katanya.

Rosmah berkata, sehingga kini lebih 500 kelengkapan sekolah terdiri daripada kasut, baju dan beg yang kualitinya masih baik dapat dikumpulkan.

“Setiap pagi apabila kaunter dibuka, kami susun penuh baju di enam rak penggantung dan akhirnya hanya tinggal dua saja yang masih berisi.

“Ibu bapa dari sekitar Meru, Bukit Raja, Setia Alam dan kawasan berhampiran yang memerlukan dijemput datang dan ambil saja apa yang mereka mahu secara percuma,” katanya.

Dia juga tidak menyangka program yang dianjurkan pertama kali itu mendapat sambutan sangat menggalakkan.

“Ada ibu bapa yang melahirkan rasa syukur kerana ia mampu mengurangkan beban mereka.

“Tambahan pula sesi persekolahan akan bermula tidak lama lagi, ibu bapa pula mendahulukan apa yang penting seperti yuran sekolah dan alatan belajar daripada membeli baju dan beg,” katanya.

Menurut Rosmah, program itu bermula 5 Disember lalu dan ditutup pada hari cuti umum namun ia akan berakhir pada 1 Januari 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2017 @ 7:00 AM