Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Kuala Lumpur: “Jurubina ialah pekerjaan yang sangat menarik dan kita boleh menyumbang khidmat sepanjang hayat. Sebab itu, saya masih aktif walaupun berumur hampir 80 tahun,” kata Hijjas Kasturi.

Pemilik firma arkitek Hijjas Kasturi Associates Sdn Bhd itu tokoh jurubina terkenal negara kerana ribuan bangunan di negara ini hasil sentuhan beliau termasuk Menara Telekom Malaysia Berhad yang tampil dengan konsep pucuk rebung.

Bangunan pencakar langit itu siap dibina pada 2001, jelas menggambarkan arkitek veteran itu mempunyai semangat Melayu yang kuat meskipun dilahirkan di Singapura berdasarkan konsep dipilihnya.

Bangunan lain direka beliau ialah Tabung Haji, Menara Maybank, Hotel Nikko, Menara Lion, Lot 10 Kuala Lumpur, Stadium Shah Alam dan Kelab Darul Ehsan.

Menurutnya, pembinaan sesebuah bangunan bukan sekadar seni tetapi mesti mempunyai objektif dan maksud tertentu yang melambangkan identiti negara dan rakyatnya.

Jelasnya, perkara itu diterapkan dalam setiap reka bentuk bangunan dihasilkan disamping menggunakan idea sendiri sepenuhnya tanpa ada persamaan dengan mana-mana bangunan direka arkitek lain.

“Saya sangat gembira kerana bilangan arkitek dalam kalangan Bumiputera semakin bertambah dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini berbanding ketika awal pembabitan saya sekitar 1960-an.

“Ini satu perkembangan yang sangat baik dan berharap trend ini berterusan kerana kerjaya arkitek dalam bidang profesional ini boleh menjamin masa depan cerah seperti buka syarikat sendiri,” katanya ketika ditemui pada Pelancaran Pameran Ikon: Kejayaan Arkitek Malaysia di Peringkat Global di Galeri Seni Universiti Malaya (UM) di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia Datuk Seri Ir Dr Judin Abdul Karim, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UM Prof Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud dan Dekan Fakulti Alam Bina UM Prof Madya Dr Yahya Ahmad.

Hijjas berkata, antara anugerah pernah diterimanya ialah Kuching Civic Centre daripada Association of Engineers, California, Amerika Syarikat pada 1989, ASEAN Awards (1990), 12th Tokyo Creation Award dan Pingat Emas Pertubuhan Arkitek Malaysia (2001).

Berkongsi sejarah ringkas hidupnya, katanya beliau berminat menjadi arkitek ketika bersekolah menengah di Raffles Institution Singapura sebelum melanjutkan pengajian Diploma Perancangan Bandar dan Wilayah serta Ijazah Sarjana Muda Seni Bina di Universiti Melbourne Australia selama enam tahun di bawah pembiayaan Biasiswa Colombo Plan daripada kerajaan Australia.

Katanya, sebaik pulang ke Malaysia pada 1967, beliau menyumbang kepakaran dalam pembangunan pendidikan seni bina dan reka bentuk seperti di Fakulti Seni Bina dan Reka Bentuk Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Beliau berkata, kepakaran dimilikinya diwarisi seorang daripada lima anaknya iaitu Serina.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2015 @ 4:59 AM