Kompleks TH, Sepang dan Movenpick Hotel. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Kompleks TH, Sepang dan Movenpick Hotel. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Hotel milik Lembaga Tabung Haji (TH), Movenpick Hotel and Convention Centre (MHCC) KLIA menerima dua pengiktirafan iaitu pensijilan Pengiktirafan Penginapan Pelancongan Mesra-Muslim (MFAR ) kategori Platinum dan Bangunan Komersil Hijau Baharu Terbaik.

MFAR diberi oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Pusat Pelancongan Islam (ITC) pada 3 September lalu manakala anugerah Bangunan Komersil Hijau Baharu Terbaik oleh Malaysia Green Buildings Council (MGBC) diberi pada 15 September.

Pengiktirafan terhadap hotel ikonik rekaan arkitek terkemuka dunia, Hijjas Kasturi itu membuktikan tahap reka bentuknya bukan saja unik, malah berdasarkan kelestarian tinggi serta pencapaian perkhidmatan yang menyerlahkan kedudukan MHCC di dalam industri perhotelan negara.

Pengurus Besar Pelaburan Strategik TH, Muhammad Fawwaz Aminuddin berkata, TH amat berbangga dengan pencapaian anugerah diraih MHCC dan berharap pengiktirafan itu menjadikan bangunan milikan TH terus maju dan berusaha lebih cemerlang demi kemajuan industri pelancongan negara.

"MHCC adalah permata tersembunyi milik TH. Kami berharap dua anugerah ini akan membuka mata rakyat Malaysia kepada keunikan seni bina berunsur Islam di negara kita di samping menikmati kemudahan hospitaliti dan perkhidmatan bertaraf lima bintang.

"Anugerah Platinum MFAR mengiktiraf MHCC sebagai hotel berkonsepkan mesra Muslim berdasarkan kelengkapan dan fasiliti patuh syariah yang menjadi tarikan pelancong mesra-Muslim, penyediaan restoran halal , cef diiktiraf dan maklumat lengkap mengenai lokasi masjid.

"Selain itu, kemudahan lain bercirikan mesra Muslim adalah gimnasium, spa dan kolam renang berasingan (bagi keluarga dan satu lagi bagi wanita khususnya), petunjuk arah kiblat jelas dan tepat, bidet , sejadah dan al-Quran di setiap bilik penginapannya.

"Manakala, penghargaan daripada MGBC pula mengiktiraf bangunan milikan TH ini sebagai bangunan perintis ke arah bangunan hijau selain menawarkan aspek kelestarian," katanya.

Beliau berkata, ia dapat dilihat pada reka bentuk hotel yang dirancang untuk mendorong penggunaan cahaya siang tersebar ke dalam bangunan.

Menurutnya, kemudahan lain adalah penyediaan laluan pejalan kaki dan Anjung Tinjau yang membenarkan aliran udara semula jadi untuk mengurangkan penggunaan penyaman udara.

Katanya, di samping itu, pengurusan sisa baik seperti mesin kompos digunakan untuk memproses sisa organik seperti sisa makanan kepada baja organik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 4:25 PM