SUASANA  di hari pertama pendakian di  Jalan Ranau.
SUASANA di hari pertama pendakian di Jalan Ranau.

Ranau: Persatuan Malim Gunung Kinabalu menyambut baik kenaikan bayaran terhadap perkhidmatan malim gunung dan porter daripada RM150 kepada RM230 bagi perjalanan sehala, selain perlindungan insurans sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

Pengerusinya Richard Soibi berkata, kenaikan itu membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap perkhidmatan ditawarkan malim gunung yang turut diancam bahaya sekiranya berlaku kejadian buruk di sekitar Gunung Kinabalu.

“Bayaran ini dilihat tidak membebankan pendaki dan berbaloi apabila malim gunung adalah individu yang menjadikan gunung ini sebagai ‘rumah’ mereka.

“Mereka turut menghadapi pelbagai risiko ketika membawa pendaki ke puncak termasuk mengalami kecederaan,” katanya.

Richard berkata, malim gunung bukan saja ditugaskan untuk membantu pendaki tiba ke puncak, malah turut menjaga keselamatan mereka sepanjang ekspedisi pendakian itu.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan Taman-Taman Sabah (TTS) kerana prihatin dengan nasib malim gunung.

“Malim gunung juga mempertaruhkan nyawa mereka bagi memastikan setiap pendaki berjaya sampai ke puncak dan kembali turun dengan selamat,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri Masidi Manjun, mengumumkan kenaikan bayaran itu selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk kebajikan malim gunung dan porter.

Masidi berkata, selain bayaran baru itu, semua malim gunung dan porter turut diberikan perlindungan insurans sepanjang mereka bertugas.

Dalam pada itu, orang ramai yang mahu melakukan aktiviti pendakian ke puncak Gunung Kinabalu kini boleh tiba di puncak melalui melalui dua laluan dikenali Jalan Ranau dan Jalan Kota Belud.

Namun, Jalan Kota Belud masih dalam pembinaan dan dijangka dibuka kepada umum pada Februari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2015 @ 6:44 AM