Shahidan   melihat kelengkapan    digunakan   anggota SMART.
Shahidan melihat kelengkapan digunakan anggota SMART.
ANGGOTA  SMART melakukan   demonstrasi Urban Search and Rescue (USAR) di Markas  SMART, Pulau Meranti, Cyberjaya.
ANGGOTA SMART melakukan demonstrasi Urban Search and Rescue (USAR) di Markas SMART, Pulau Meranti, Cyberjaya.
Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Cyberjaya: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) akan menerima pengiktirafan Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) Jun tahun depan, sekali gus membolehkan pasukan itu dihantar untuk menyertai misi bencana di luar negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pengiktirafan itu menjadikan Malaysia negara kedua di Asia Tenggara diiktiraf INSARAG selepas Singapura, kelapan di Asia Pasifik dan 135 di dunia.

“Menerusi pengiktirafan ini, pasukan ini boleh pergi ke mana-mana negara dengan mudah untuk melaksanakan misi menyelamat sekiranya berlaku sebarang bencana.

“Sebagai contoh, SMART pernah dihantar ke Nepal ketika misi menyelamat gempa bumi dan ada juga negara memberi laluan terlebih dahulu kepada pasukan diiktiraf INSARAG,” katanya pada sidang media sempena lawatannya ke Pusat Kawalan Bencana Pulau Meranti, dekat sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (APBN) Datuk Zaitun Ab Samad dan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad PuziAb Kahar.

Dalam pada itu, Shahidan berkata, pihaknya mencadangkan mewujudkan kadet SMART di institusi pengajian tinggi sebagai usaha melahirkan pelapis untuk pasukan berkenaan.

“Mereka ini perlu ada sebagai pengganti kepada anggota sedia ada dan persediaan ini perlu dibuat seawal Januari tahun depan.

“Jadi kita tidak perlu mencari pasukan lain dari luar sekiranya mahu melaksanakan misi menyelamat kerana kita ada pelatih sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2015 @ 9:14 AM