SITI Nurhaliza Mohd Rosli, 17. memilih pakaian yang dapat diselamatkan.
SITI Nurhaliza Mohd Rosli, 17. memilih pakaian yang dapat diselamatkan.
Oleh Suzaini Sulaiman


Kuala Selangor: Keadaan banjir di daerah ini semakin pulih apabila hanya sebuah pusat pemindahan sementara mangsa banjir dibuka sehingga jam 4 petang semalam.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata, Balai Raya Bukit Cherakah kini menempatkan 17 mangsa daripada lima keluarga memandangkan kawasan kediaman mereka masih dilanda banjir.

“Enam lagi pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang, Masjid Simpang Tiga, Jeram, Balai Raya Bukit Kuching, Balai Raya Kampung Bukit Hijau, Surau Ladang Tuan Mee dan Balai Raya Kampung Asahan sudah ditutup bermula jam 2 hingga 3.30 petang tadi (semalam),” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, status bencana tahap satu dikeluarkan di daerah ini sejak 11 hari lalu ditarik selepas keadaan banjir yang semakin pulih dan jumlah mangsa menurun.

Pegawai Daerah Kuala Selangor yang juga Pengerusi Bencana Daerah Shamsul Shahril Badliza berkata, walaupun status bencana tahap satu sudah ditarik, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan 24 jam sekiranya situasi kembali meruncing.

Beliau berkata, pusat kawalan operasi banjir yang dibuka di Parit Mahang juga ditutup dan dipindahkan ke Pejabat Daerah Kuala Selangor.

“Beberapa jabatan seperti pihak keselamatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu membuat pemantauan di kawasan yang masih mempunyai mangsa dan pemantauan berkala juga dilakukan sehingga banjir pulih sepenuhnya,” katanya.

Shamsul berkata, air sungai di sekitar daerah ini juga dilaporkan berada pada paras berhati-hati, namun menurun.

Menurutnya, lapan pam yang dipasang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor di beberapa kawasan sekitar daerah ini akan terus beroperasi bagi memastikan kenaikan air sungai dapat dikawal dengan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2015 @ 5:08 AM