PPIAH Arshad, 48, dan anaknya, Wardina Sumaiyah, 8, menyusun dan meletakkan keladi ke tempat yang lebih tinggi untuk mengelak rosak akibat banjir yang melanda rumahnya dan sekitar kawasan perkampungan di Kampung Parit Mahang, Kuala Selangor. FOTO  Intan Nur Elliana Zakaria
PPIAH Arshad, 48, dan anaknya, Wardina Sumaiyah, 8, menyusun dan meletakkan keladi ke tempat yang lebih tinggi untuk mengelak rosak akibat banjir yang melanda rumahnya dan sekitar kawasan perkampungan di Kampung Parit Mahang, Kuala Selangor. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria

Kuala Selangor: Majlis Keselamatan Negara mengisytiharkan empat kawasan di daerah ini diletakkan di bawah pengurusan Banjir Tahap 1 berikutan lebih 400 mangsa dipindahkan ke pusat penempatan.

Pegawai Daerah Kuala Selangor merangkap Pengerusi Bencana Kuala Selangor, Shamsul Shahril Badlisza Mohd Noor, berkata kawasan yang terbabit ialah Kampung Sungai Mahang, Kampung Bukit Kerayong, Kampung Simpang Tiga dan Kampung Ladang Tuan Mee.

“Parit Mahang menerima mangsa paling ramai setakat ini apabila 302 orang membabitkan 102 keluarga dipindah.

“Dijangkakan mangsa banjir di empat kawasan ini bertambah sekiranya berlaku hujan lebat dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat penempatan mangsa banjir di Balai Raya Kampung Parit Mahang, di sini hari ini.

Shamsul Shahril Badliza berkata Pusat Kecemasan Banjir turut dibuka di Kampung Parit Mahang sebagai langkah berjaga-jaga.

Beliau berkata, hujan lebat ditambah dengan pertembungan fenomena air pasang menyebabkan beberapa kampung ditenggelami air.

“Meskipun ramai menyalahkan sistem perparitan, saya bagaimanapun tegaskan kerja penyelenggaraan parit sentiasa dipantau agensi terlibat manakala kunci air berfungsi dengan baik,” katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, dan anggota Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim, meluangkan masa meninjau keadaan mangsa banjir di Balai Raya Kampung Parit Mahang.

Mereka turut menyampaikan sumbangan peribadi selain bantuan bekalan makanan dan barangan keperluan harian. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 9:03 PM