AHMAD Zahid
AHMAD Zahid
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan

Kuala Kangsar: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengetuai 39 penerima darjah kebesaran dengan menjadi penerima pertama Darjah Seri Paduka Sultan Nazrin Shah (SPSN) membawa gelaran Datuk Seri Diraja sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak di Istana Iskandariah di sini.

Mendiang Kevin Anthony Morais antara enam penerima darjah kebesaran secara anumerta (anugerah yang diberikan kepada seseorang yang meninggal dunia) bagi sambutan ulang tahun keputeraan pertama Sultan Nazrin selepas ditabalkan sebagai Sultan Perak Ke-35, Mei lalu.

Dua tokoh kemerdekaan menerima Darjah Seri Paduka Cura Si Manja Kini (SPCM) yang membawa gelaran Datuk Seri ialah pengasas UMNO, Allahyarham Datuk Sir Onn Jaafar serta Menteri Besar Perak pertama Allahyarham Datuk Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab Toh Muda Abdul Aziz.

Pemimpin gerakan nasionalis dan pemikir Islam sebelum merdeka, Allahyarham Dr Burhanuddin Al-Helmy serta tokoh gerakan pelajar dan pendidikan, Allahyarham Aminuddin Baki antara lima penerima Darjah Seri Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Turut menerima SPMP ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hamzah Zainuddin, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya Tan Sri Arsyad Ayub serta Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Datuk Ranjit Singh Ajit Singh.

Dua lagi penerima anumerta ialah bekas Ketua Polis Perak dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak mendiang Tan Sri Khoo Chong Kong yang menerima Darjah Seri Panglima Taming Sari (SPTS) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima manakala Morais yang juga bekas Timbalan Pendakwa Raya dianugerahkan Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk.

Seorang lagi penerima SPTS ialah Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Nor.

Tiga penerima Darjah Datuk Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk ialah Penasihat Undang-undang negeri Rohana Abd Malek, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Orang Besar Jajahan Larut Matang dan Selama Wan Mohd Isa Wan Mohd Razalli.

Selain mendiang Morais, 20 menerima DPMP antaranya Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mahfar Ali, Timbalan Pengarah Dakwah dan Inovasi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Abdul Hanif Harun, pakar perunding kardiologi Institut Jantung Negara (IJN) Dr Azmee Mohd Ghazali, Profesor Jabatan Perubatan Universiti Malaya Prof Dr Wan Azman Wan Ahmad, Timbalan Presiden Kolej Pakar Pergigian Akademi Perubatan Malaysia Dr Nooral Ziela Junid, Naib Presiden Eksekutif Penerbangan Malaysia (MAS) Raja Zamilia Raja Mansur, Orang Besar 16 Toh Tan Dewa Paduka Zainon Kamar Zainal Abidin.

Presiden Kelab The Andersonians Mohd Zabidi Abdul Latif, Ketua UMNO Bahagian Parit Buntar Abu Bakar Mat Ali, Naib Ketua UMNO Bahagian Lumut Azri Jaafar, Timbalan Rektor Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) Prof Dr Wan Sabri Wan Yusof, bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjung Malim Mariam Mohd Zain, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderoh Zainun Mat Noor.

Pendakwah bebas Datuk Mohd Kazim Elias, juruperunding kerajaan Perak Prof Dr Ahamed Kameel Mydin Meera, Pegawai Daerah Kampar Latipah Sehibi, Pegawai Daerah Perak Tengah Mad Dan Hassan, Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Perak Dr Rahimi Goon, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Yahaya Madis dan Duta Besar Malaysia ke Oman Umardin Abdul Mutalib.

Seramai lima orang menerima Darjah Datuk Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan iaitu Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Goh Kok Liang, Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Brig Jen Abu Sufian Ahmad, Ketua Pakar O&G Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan Brig Jen Dr T Thavachelvi dan Panglima Udara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Pertama Alias Baharuddin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 9:51 AM