ZAITUN
ZAITUN

Cyberjaya: Agensi Pengurusan Bencana Negara (APBN) bersiap sedia dengan menggerakkan 50,000 anggota penyelamat pelbagai agensi yang bertugas dalam menghadapi tengkujuh di seluruh negara.

Ketua Pengarahnya Datuk Zaitun Ab Samad berkata, anggota terbabit terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Malah, katanya, koordinasi pengoperasian bantuan banjir turut ditambah baik termasuk menyediakan kit makanan kepada mangsa yang terbabit.

“Kit makanan disediakan boleh terus dimakan antaranya biskut, susu, air mineral, makanan tidak perlu dimasak, bijirin serta roti kering.

“Ia dibuat dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan agensi itu bertindak membungkus kit makanan, disimpan sebagai stok serta diagihkan kepada mangsa banjir,” katanya pada sidang media selepas Taklimat Pengoperasian Pusat Kawalan bencana Negara (NDCC), Pulau Meranti, dekat sini, semalam.

Zaitun berkata, penyediaan kit makanan itu selepas pihaknya melihat kepada keadaan dan pengalaman ketika bencana banjir pada tahun lalu.

“Jika kita memberi makanan perlu dimasak seperti beras, sukar untuk mereka memasaknya terutama jika terperangkap ketika situasi banjir seperti di Manik Urai, Kelantan pada tahun lalu.

“Kit makanan itu juga diagihkan kepada mangsa banjir di Kuala Selangor dan Perak baru-baru ini,” katanya.

Setiap bungkus kit makanan itu berharga RM70 serta boleh bertahan untuk tiga hari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2015 @ 9:04 AM