WANITA yang berpaut pada tingkap sebelum diselamatkan.
WANITA yang berpaut pada tingkap sebelum diselamatkan.

Paris: Satu video seorang wanita mengandung berpaut di jeriji tingkat dua di dewan konsert Bataclan menarik perhatian netizen membuatkan seorang lelaki dipercayai cuba menyelamatkan mangsa ketika kejadian tampil menceritakan detik cemas itu.

Hanya mahu dikenali sebagai Sebastien, ketika kejadian dia mendengar wanita berkenaan menjerit sambil menangis meminta tolong di luar tingkap dewan berkenaan.

“Ada dua tingkap di depan saya dan seorang wanita merayu orang di bawah untuk menyambutnya jika dia terjun dari bangunan berkenaan.

“Kebetulan, keadaan di bawah sangat huru-hara. Saya memanjat keluar melalui tingkap yang lain dengan ketinggian 15 meter dari tanah,” katanya.

Menurutnya, dia sempat memegang tangan wanita hamil berkenaan selama lima minit sebelum orang ramai mula menyambutnya dari bawah.

“Kami kemudian terpisah begitu saja sebelum tiba-tiba muncung AK-47 menghala ke arah saya dan meminta saya turun dari tingkap dan meniarap ke atas lantai.

“Saya dapat mendengar dengan jelas orang menjerit seolah-olah mereka diseksa sebelum pengganas menjerit: “Adakah anda mendengar tangisan dan penderitaan setiap hari di Syria. Kami merasai perasaan itu (tangisan dan penderitaan). Ini adalah peperangan dan kami akan membunuh lagi nyawa mereka yang tidak berdosa,” katanya.

Katanya, dia turut mendengar perbualan antara pasukan keselamatan dan pengganas untuk rundingan membebaskan tebusan.

“Mereka mendakwa dilengkapi dengan bahan letupan dan boleh memusnahkan tempat berkenaan dalam sekelip mata.

“Bagaimanapun saya tahu mereka tipu kerana saya hanya melihat senjata AK-47 bersama beg berisi peluru dan pita hitam,” katanya.

Menurutnya, selepas dua jam The Raid (pasukan elit polis Perancis) berjaya menembak seorang demi seorang pengganas sebelum tebusan dilepaskan.

Sebelum ini, rakaman video dramatik itu diambil wartawan akhbar Le Monde, Daniel Psenny, yang tinggal di seberang jalan La Bataclan dan melihat empat penjenayah bertopeng bersenjatakan AK-47 memasuki bangunan dewan berlangsungnya konsert Eagles of Death Metal.

Rakan wanita hamil itu, Frans Torreele berkata, ibu dan bayi dalam kandungan kini selamat namun sedikit trauma.

“Dia perlu berehat dan tidak mahu memberi komen mengenai apa yang berlaku sekarang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 5:56 AM