DERETAN motosikal penduduk musnah sepenuhnya.
DERETAN motosikal penduduk musnah sepenuhnya.
Oleh Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Khianat api. Itu dilakukan individu tidak bertanggungjawab yang dipercayai sengaja membakar deretan 30 motosikal milik penghuni Blok G, pangsapuri kos rendah Bandar Tasik Selatan di sini, ketika mangsa sedang lena tidur.

Dalam insiden kira-kira jam 4.30 pagi semalam, sebanyak 14 motosikal musnah sepenuhnya manakala baki 16 lagi rosak teruk.

Difahamkan kejadian hanya disedari beberapa penghuni kediaman yang tinggal di blok bertentangan lokasi kejadian sebelum memaklumkan kepada pemilik kenderaan.

Seorang pemilik motosikal yang hanya mahu dikenali sebagai Razak, 43, berkata, dia tersedar dari tidur sebaik terdengar jeritan suara orang ramai di bawah pangsapuri itu.

Katanya, dia bergegas turun ke tingkat bawah pangsapuri bagi menyelamatkan motosikalnya yang terbakar.

“Bagaimanapun api kebakaran terlalu marak ketika itu. Malah saya bimbang jika berlaku letupan.

“Saya dan beberapa penduduk menyiram air untuk memadamkan kebakaran itu selain berjaya menarik beberapa motosikal lain ke kawasan selamat,” katanya.

Dia berkata, motosikal miliknya turut mengalami kerosakan akibat bahang panas, namun masih boleh dibaik pulih.

Sementara itu Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.45 pagi sebelum tiba di lokasi kejadian 14 minit kemudian.

Menurutnya, dua jentera dan 10 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besi dan BBP Tun Razak dikerah ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan segera.

“Ketika bomba sampai, api sudah dipadamkan dan pihak bomba melakukan siasatan di lokasi berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Chong Kok Sin dihubungi berkata, pihaknya tidak menolak kejadian ini berunsur khianat, namun perlu menunggu laporan penuh bomba,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2015 @ 8:17 AM