Gombak: “Saya yakin ada ‘tangan api’ sengaja membakar enam motosikal dan sebuah kenderaan milik penduduk,” ujar seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Suresh, 28.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi semalam, tujuh kenderaan milik penghuni di Pangsapuri Nuri, Taman Bukit Idaman, Selayang di sini, musnah sepenuhnya.

Rata-rata penduduk percaya kejadian itu berpunca akibat perbuatan khianat berikutan ia berlaku ketika penghuni pangsapuri itu sedang tidur.

Suresh berkata, kejadian itu menyebabkan motosikal model Yamaha Lagenda yang baru dibelinya dua minggu lalu musnah sepenuhnya.

“Motosikal itu dibeli dengan wang simpanan hasil gaji bulanan saya. Tiada apa yang dapat diselamatkan.

“Saya hanya mengetahui kebakaran yang berlaku selepas dimaklumkan oleh jiran berdekatan. Ketika itu api menjulang tinggi dan kami gagal berbuat apa-apa,” katanya.

Menurutnya, penduduk pangsapuri itu kemudian cuba memadamkan kebakaran itu namun api cepat merebak berikutan petrol yang terdapat di dalam kenderaan itu.

Dia yakin kejadian itu adalah perbuatan disengajakan berikutan beberapa samseng turut pernah membakar kenderaan di pangsapuri ini beberapa bulan lalu.

“Tidak sampai lima minit, kenderaan model Proton Exora dan enam motosikal berhampiran musnah dijilat api,’ katanya.

Sementara itu jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Selayang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.43 pagi sebelum tiba di lokasi kejadian tujuh minit kemudian.

Katanya, terdapat seorang penduduk wanita berusia 45 tahun mengalami sesak nafas selepas terhidu asap kebakaran sebelum dikejarkan ke Hospital Selayang bagi menerima rawatan lanjut.

“Mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil dan punca sebenar kebakaran dan anggaran kerugian masih lagi disiasat unit forensik bomba,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Februari 2015 @ 7:01 AM