MANGSA menunggu bantuan perubatan selepas kemalangan.
MANGSA menunggu bantuan perubatan selepas kemalangan.

Temerloh: Dua sahabat yang dalam perjalanan ke Kuantan menyelesaikan urusan kerja, parah selepas Proton Perdana V6 dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar pokok di Kilometer 126.6 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.48 pagi, kedua-dua mangsa yang belum dikenal pasti dipercayai berusia antara 30 hingga 40 tahun dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAH), di sini, untuk rawatan.

Pegawai Turus Trafik Pahang Deputi Superintendan Ahmad Nadzri Zainal berkata, sebelum kejadian, kereta yang dipandu seorang daripada mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan berpusing lalu merempuh pokok.

“Akibat rempuhan berkenaan, kedua-dua mangsa parah dibantu orang awam sebelum dikejarkan ke HOSHAH dengan ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa dilaporkan stabil.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, ketika kejadian keadaan permukaan jalan kering dan cuaca baik namun polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

Katanya, pada masa sama, kenderaan dinaiki mangsa dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM), di sini, untuk pemeriksaan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2015 @ 9:52 AM