ANGGOTA bomba menjalankan kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Jalan Felda Bukit Batu, pagi tadi. FOTO ihsan BOMBA
ANGGOTA bomba menjalankan kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Jalan Felda Bukit Batu, pagi tadi. FOTO ihsan BOMBA
Omar Ahmad


Kulai: Dua beranak maut selepas kenderaan dinaiki terbabas sebelum merempuh pokok akasia di Jalan Felda Bukit Batu, di sini, hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Kulai Firdaus Juritah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.45 pagi.

Katanya, kedua-dua mangsa dikenali sebagai Mohamad Khairul Hasan, 34, dan anaknya, Mohd Khairil Akmal Mohamad Khairul, 13.

"Kenderaan jenis Perodua Alza dinaiki kedua-dua mangsa didapati terbabas dan merempuh sebatang pokok akasia yang berada di tepi jalan.

"Kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan tersepit dan disahkan maut di lokasi kejadian.

"Anggota bomba kemudian bertindak mengeluarkan kedua-dua mangsa menggunakan peralatan khas," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, tujuh anggota berserta sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Kulai dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Jenazah kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Tok Beng Yeow berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kedua-dua mangsa bergerak dari Pontian menghala ke Kulai.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu dipercayai hilang kawalan lalu melanggar pokok di kiri bahu jalan arah bertentangan.

"Akibat perlanggaran itu, pemandu dan penumpang tersepit di dalam kenderaan. Mereka mengalami kecederaan parah di pelbagai bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2020 @ 2:31 PM