KETUA Pegawai Eksekutif Cahaya Jauhar, Mohd Auzir Mohd Tahir (dua dari kanan) menyampaikan replika kunci kepada Pemangku Pengarah Bomba Johor, Mohd Yusof Mohd Gunnos (dua dari kiri) sambil diperhatikan  Mohd Nor (tengah), Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Bomba, Zulkarnain Kasim (kanan) dan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Amran Abdul Rahman (dua dari kiri).
KETUA Pegawai Eksekutif Cahaya Jauhar, Mohd Auzir Mohd Tahir (dua dari kanan) menyampaikan replika kunci kepada Pemangku Pengarah Bomba Johor, Mohd Yusof Mohd Gunnos (dua dari kiri) sambil diperhatikan Mohd Nor (tengah), Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Bomba, Zulkarnain Kasim (kanan) dan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Amran Abdul Rahman (dua dari kiri).

Johor Bahru: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bercadang menggunakan kaedah pembinaan secara cepat siap dalam usaha mempunyai sekurang-kurangnya 300 balai bomba beroperasi di seluruh negara menjelang 2020.

Ketua Pengarahnya Datuk Wira Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, ia diperlukan bagi menampung keperluan negara yang bakal mencapai status negara maju pada waktu itu.

Katanya, bagi mencapai sasaran itu, kaedah pembinaan secara cepat siap digunakan kerana menjimatkan kos dan tempoh pembinaan.

“Buat masa ini, kita memiliki 278 balai bomba dan penyelamat di seluruh negara dan konsep pembinaan cepat siap akan digunakan di kawasan kritikal seperti di Nusajaya yang pesat membangun.

“Kami turut mengalu-alukan syarikat swasta untuk terbabit dalam pembinaan balai bomba seperti yang dibangunkan syarikat pemaju Cahaya Jauhar Sdn Bhd yang menukarkan cukai RM2.1 juta sepatutnya dibayar kepada kerajaan, dengan sebuah bangunan.

“Kaedah pembinaan cepat siap ini, tiga atau empat balai bomba dapat dibina menggunakan peruntukan sama bagi membina sebuah balai bomba menggunakan kaedah konvensional ketika ini,” katanya selepas merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat Nusajaya, di sini, semalam.

Balai bomba kategori D berkenaan disiapkan pada 23 September lalu dengan kos RM2.1 juta adalah balai bomba ke-28 di Johor dan boleh dinaik taraf mengikut keperluan semasa.

Wan Mohd Nor berkata, pertambahan bilangan balai bomba terbabit bagaimanapun tidak membabitkan perjawatan baru kerana pihaknya akan mengoptimumkan penggunaan sumber manusia sedia ada selain menggunakan khidmat bomba sukarela.

Dalam pada itu, Wan Mohd Nor berkata, Johor memiliki enam lagi Balai Bomba dan Penyelamat baru di beberapa kawasan di negeri ini dalam tempoh dua tahun.

Katanya, balai bomba dan penyelamat di kawasan Pagoh, Tenggara dan Simpang Renggam dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2016.

“Tiga lagi di kawasan Pengerang Kota Tinggi iaitu di Sebana Cove, Punggai dan Sungai Renggit akan siap pada 2017,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2015 @ 9:23 AM