SEORANG lelaki meninggal dunia, manakala seorang lagi masih belum ditemui selepas dipercayai lemas ketika mandi dalam kejadian di Pantai Batu Layar, pagi tadi. FOTO ihsan BOMBA JOHOR
SEORANG lelaki meninggal dunia, manakala seorang lagi masih belum ditemui selepas dipercayai lemas ketika mandi dalam kejadian di Pantai Batu Layar, pagi tadi. FOTO ihsan BOMBA JOHOR
Nurul Amanina Suhaini


Kota Tinggi: Seorang lelaki ditemui lemas manakala seorang lagi masih hilang ketika mandi di Pantai Batu Layar, dekat sini, pagi tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sebana Cove, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Khairul Sufian Dahari, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 10.59 pagi tadi.

Katanya, mangsa, Muhamad Hariz Farhat Omar, 23, meninggal dunia manakala Muhammad Hibatullah Hakim Razak, 23, masih belum ditemui.

"Seramai 19 anggota bersama dua jentera, sebuah Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS), tiga kenderaan pacuan empat roda dan sebuah bot dari BBP Punggai, BBP Penawar serta pasukan penyelam dari BBP Skudai ke lokasi kejadian.

"Dua mangsa dipercayai lemas, seorang mangsa dijumpai orang awam di celah batu 30 meter dari pantai.

"Mangsa dipercayai mandi ketika air surut dan ditarik arus, pasukan bomba masih membuat pencarian seorang lagi mangsa yang belum ditemui" katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pasukan bomba membuat rawatan awal terhadap mangsa yang ditemui orang awam namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi.

Katanya, sehingga kini, operasi masih lagi dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 2:44 PM