Kuala Lumpur: Dengan kadar 34 peratus jawatan pengurusan di negara ini disandang wanita, Malaysia hanya ketinggalan sedikit saja di belakang China, yang mencatat kadar 36 peratus dan kekal sebagai peneraju kepelbagaian di rantau ini.

Menurut Panduan Gaji Hays Asia 2015, perangkaan bagi Malaysia itu meningkat daripada 29 peratus pada tahun lalu.

Malaysia diekori Hong Kong (31 peratus, menurun daripada 33 peratus pada tahun sebelumnya) dan Singapura (27 peratus, tidak berubah daripada tahun sebelumnya).

Purata bagi Asia ialah 29 peratus.

Hays mendapati Jepun masih ketinggalan dari segi kedudukan kepelbagaian, dengan wanita di negara itu mengisi hanya 19 peratus jawatan pengurusan.

Menurut Hays, kepelbagaian kekal sebagai isu kritikal dalam perniagaan.

Pengarah urusan Hays di Asia, Christine Wright berkata, walaupun semua penyelidikan mendapati tenaga kerja pelbagai gender mempunyai kelebihan, tetapi wanita tidak mempunyai perwakilan sama rata dalam barisan kepimpinan dan mereka juga tidak digalakkan mencapai cita-cita dalam kerja masing-masing.

Sambil menyeru supaya diwujudkan kesamarataan gender, beliau berkata, lebih banyak tempat kerja perlu mengamalkan waktu bekerja fleksibel, mengetengahkan wanita sebagai model peranan, mengubah dasar organisasi bagi menyokong kepelbagaian gender dan memberi sokongan di peringkat lembaga pengarah terhadap isu kepelbagaian.

“Satu daripada langkah paling praktikal ialah mengamalkan dasar kenaikan pangkat berasaskan prestasi kerana ini akan membantu membina budaya meritokrasi dan menghapuskan kewujudan sikap berat sebelah yang tidak disedari dalam proses membuat keputusan.– BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 9:27 AM