PENYERTAAN wanita dalam semua portfolio menerusi sistem demokrasi adil. - FOTO Pexels
PENYERTAAN wanita dalam semua portfolio menerusi sistem demokrasi adil. - FOTO Pexels
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Menurut Kesatuan Antara Parlimen (IPU) - United Nation (UN) Peta Wanita Dalam Politik edisi 2023, lebih ramai wanita memegang jawatan sebagai pembuat keputusan politik di seluruh dunia, tetapi kesaksamaan gender masih jauh.

Peta itu memaparkan kedudukan terkini dan taburan serantau wanita dalam jawatan eksekutif serta parlimen negara pada Januari lalu.

Data menunjukkan bilangan wanita dalam kepimpinan politik, kerajaan dan parlimen meningkat secara keseluruhan, tetapi beberapa wilayah ketinggalan jauh di belakang.

Pengarah Eksekutif UN Wanita Sima Bahous berkata, data ini menunjukkan bahawa wanita masih golongan minoriti dalam kabinet kerajaan.

Menurutnya, mereka juga masih kurang menjadi wakil wanita dalam kepimpinan kerajaan. Lelaki terus mendominasi jawatan menteri kabinet bagi portfolio kritikal seperti ekonomi, pertahanan dan sumber tenaga asli.

"Sistem demokrasi yang adil memerlukan penyertaan wanita dalam semua portfolio.

"Namun kerana ancaman dan gangguan berterusan sama ada dalam talian atau luar talian terhadap pemimpin wanita, menyekat peluang mereka untuk membantu dalam pemulihan ekonomi serta sosial.

"Ketidakadilan ini tidak boleh diteruskan dan kami memerlukan anjakan paradigma untuk membawa perubahan kepada kesaksamaan sebenar," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung IPU Martin Chungong berkata, dapat melihat kemajuan memberangsangkan bilangan wanita dalam politik tahun ini.

"Bagaimanapun, kita mempunyai perjalanan yang masih panjang untuk mencapai kesaksamaan jantina apabila melihat kadar pertumbuhan semasa.

KESAKSAMAAN gender dan wanita perlu diperkasa. - FOTO Arkib NSTP
KESAKSAMAAN gender dan wanita perlu diperkasa. - FOTO Arkib NSTP

"Krisis perubahan iklim yang saling berkaitan, ketegangan geopolitik, kestabilan ekonomi dan ketidaksamaan sosial, maka kebolehan wanita perlu dimanfaatkan dengan memberi peluang mereka menceburi politik," katanya.

Untuk rekod, sehingga 1 Januari lalu, kira-kira 11.3 peratus negara mempunyai ketua negara wanita iaitu 17 daripada 151 negara (sistem berasaskan raja) dan 9.8 peratus (19 daripada 193 negara) mempunyai ketua kerajaan wanita.

Berbanding 10 tahun lalu, angkanya ialah 5.3 peratus dan 7.3 peratus. Di Eropah dan Amerika Syarikat mempunyai menteri kabinet wanita paling ramai.

Pada Januari lalu, sebanyak 22.8 peratus wanita dilantik menjadi menteri kabinet.

Hanya 13 negara yang kebanyakan di Eropah mempunyai kesaksamaan gender dalam kabinet dengan 50 peratus atau lebih ahli kabinet wanita adalah ketua menteri.

Di samping itu, data baharu menunjukkan bilangan speaker wanita di parlimen meningkat kepada 22.7 peratus berbanding 20.9 peratus pada 2021.

Peta Wanita IPU-UN yang baharu dalam politik dibentangkan pada sesi ke-67 Suruhanjaya Status Wanita iaitu perhimpunan terbesar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai kesaksamaan gender.

Tema tahun ini ialah perubahan teknologi dan inovasi serta pendidikan dalam digital untuk mencapai kesaksamaan gender, juga memperkasakan semua wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2023 @ 6:46 AM