Kuala Lumpur: Umat Islam seluruh negara meraikan sambutan Maal Hijrah 1437 Hijrah hari ini dengan tema Perpaduan Nadi Transformasi Negara.

Namun, realitinya kebanyakan daripada masyarakat hanya mengaitkan sambutan Maal Hijrah dengan tahun baru semata-mata dan cuti umum.

Sambutan Maal Hijrah seharusnya bukan hanya sekadar melewati kalendar tahunan sebaliknya perlu penghayatan yang sewajarnya dan mendalam daripada masyarakat.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, masyarakat di negara ini perlu menghayati sepenuhnya konsep hijrah yang berkait rapat dengan perpaduan di negara ini.

Katanya, hijrah adalah titik penting bagi syiar Islam dan masih tidak ramai yang mampu memahaminya secara serius.

“Peristiwa Hijrah sebenarnya detik transformasi yang cukup signifikan dan penting dalam kehidupan setiap umat Islam.

“Detik bersejarah ini meletakkan batu asas yang cukup penting dalam perkembangan syiar Islam seterusnya kemajuan umat Islam secara keseluruhannya,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Abdul Rahman, asas utama dalam hijrah adalah sifat berkasih sayang, perpaduan dan hormat menghormati sesama masyarakat.

Katanya, perpaduan sememangnya menjadi perkara utama dan Rasulullah SAW sendiri mengucapkan salam ketika pertama kali baginda tiba di Madinah selepas berhijrah dari Makkah.

“Salam itu sendiri bermaksud selamat, sejahtera dan pada masa yang sama mendoakan seseorang.

“Jadi, andai mahu orang lain menghormati kita, kita sendiri terlebih dulu perlu menyayangi dan menghormati orang lain.

“Jika semua pihak mengamalkan perkara itu (kasih sayang dan hormat-menghormati antara satu sama lain) negara akan jadi aman dan harmoni,” katanya.

Abdul Rahman berkata, dalam menempuhi ujian demi ujian yang melanda negara hari ini, masyarakat perlu bersatu kerana jika tidak, ia boleh membawa kepada perpecahan dan kemusnahan.

“Kita lihat apabila mata wang negara jatuh baru-baru ini contohnya ramai yang mencela pemimpin negara daripada memberi pandangan untuk mengatasinya.

“Perkara itu tidak seharusnya berlaku kerana jika kita sebagai rakyat perlu menghormati kepimpinan yang ada,” katanya.

Sementara itu, bersempena dengan sambutan Maal Hijrah tahun ini, Abdul Rahman turut menyeru kepada seluruh umat Islam di negara ini untuk kembali menghayati detik bersejarah itu seterusnya merapatkan ukhuwah dan perpaduan sesama masyarakat dalam mengharungi segala cabaran yang mendatang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2015 @ 10:26 AM