Stanley (tengah) menyampaikan cenderahati penghargaan kepada Dr Azlina pada majlis  pelancaran kempen Wear It Pink 2015.
Stanley (tengah) menyampaikan cenderahati penghargaan kepada Dr Azlina pada majlis pelancaran kempen Wear It Pink 2015.
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Kuala Lumpur: Majikan di seluruh negara disaran mengambil pakej insurans yang menawarkan perlindungan kanser menyeluruh termasuk alat sokongan selepas pembedahan serta prostesis kepada pekerja.

Penaung Utama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Tan Sri Rafidah Aziz berkata, perlindungan insurans sedemikian perlu untuk setiap pekerja, terutama wanita yang mudah terdedah kepada risiko kanser payudara.

“Alat sokongan selepas pembedahan sangat penting dalam mengembalikan semangat, keupayaan serta produktiviti pekerja pada masa depan.

“Saya percaya, lebih banyak kesan positif yang menguntungkan majikan sekiranya mereka dapat menyediakan perlindungan insurans terbaik untuk setiap pekerja,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kempen ‘Wear It Pink 2015’ di Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL) di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PHKL, Anwar Anis, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Supermax Corporation Berhad, Datuk Seri Stanley Thai, Pengerusi Penganjur Sidang Kemuncak Kesihatan Wanita Ke-3 2015, Dr Azlina Firzah Abdul Aziz dan Perunding Pakar Bedah Payudara, Dr Patricia Gomez.

Dalam pada itu, Rafidah turut menggesa syarikat insurans mengubah kandungan polisi sedia ada dengan menawarkan perlindungan terhadap rekonstruktif payudara, prostesis serta prosedur klinikal dan bukan klinikal yang berkait dengan rawatan kanser payudara.

Jelasnya, ketika ini tidak banyak syarikat insurans yang mengambil inisiatif menawarkan bentuk perlindungan lengkap kepada pesakit kanser payudara.

“Bagi pakej insurans baru, memang banyak menawarkan perlindungan terhadap kanser. Tapi kita bercakap tentang polisi terdahulu.

“Syarikat insurans wajar membuat sedikit perubahan (terhadap kandungan polisi) demi meringankan beban pesakit,” katanya.

Menurut Rafidah, beliau sedih apabila kempen kali ini terpaksa mengadakan satu petisyen khas untuk merayu sokongan ramai, meminta Bank Negara dan Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) supaya turut mengkaji keperluan mengubah polisi perlindungan sedia ada.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2015 @ 6:20 AM