DARI kiri, Musa, Nadzim dan pegawai  Bahagian Komunikasi Korporat Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Syed Kamarul pada sidang media.
DARI kiri, Musa, Nadzim dan pegawai Bahagian Komunikasi Korporat Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Syed Kamarul pada sidang media.

Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa mahkamah syariah di seluruh negara mempercepatkan proses perbicaraan kes tertunggak terutama membabitkan perceraian.

Ketua Aktivisnya Datuk Nadzim Johan berkata, pihak mahkamah mengambil masa lama untuk menyelesaikan perkara terbabit sehingga mereka yang mendapatkan khidmat mahkamah dihimpit oleh pelbagai masalah.

“Kelewatan penyelesaian kes yang berlaku memberikan gambaran buruk kepada masyarakat mengenai undang-undang Islam. Ini perlu ditangani dengan baik kerana kes berlarutan sehingga mengambil masa bertahun-tahun lamanya menyebabkan kesukaran kepada keluarga. Contohnya kes yang membabitkan perceraian, di mana isteri memerlukan tuntutan nafkah untuk menjaga anak dan bayaran rumah.

“Begitu juga dengan kes tuntutan mutaah dan edah, sepatutnya tidak perlu berlarutan sehingga mengambil masa yang lama untuk diselesaikan kerana Islam itu mudah sekiranya digunakan mengikut cara betul. Jadi, kami harap mahkamah tidak mengambil masa lama dalam menyelesaikan kes sebegini demi kebaikan semua,” katanya pada sidang media selepas menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) Kerjasama dengan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), di Our Private Cafe, di Kondominium Villa Puteri, di sini semalam.

Majlis terbabit turut dihadiri oleh Presiden PGSM Musa Awang dan jawatankuasa kedua-dua persatuan terbabit.

Sementara itu, Musa berkata, kerjasama terbabit adalah satu tindakan tepat bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi orang ramai di mahkamah syariah terutama membabitkan perceraian.

Katanya, 27,000 kes perceraian berlaku di mahkamah syariah seluruh negara pada tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, kami menyelesaikan 90 peratus kes perceraian ini hasil persepakatan semua peguam syarie. Jadi, kami mengadakan kerjasama dengan PPIM untuk cuba menyelesaikan 10 peratus kes tertunggak ini.

“Selain itu, kerjasama dilakukan akan menjadi satu usaha membantu keluarga Islam yang kita lihat kebelakangan ini mempunyai banyak masalah terutama membabitkan perceraian, tuntutan harta, nafkah dan sebagainya.

“Kami mengadakan slot dan penerangan kepada orang ramai menerusi radio serta klinik yang bakal diadakan tidak lama lagi. Dari situ mereka boleh mendapatkan maklumat serta kaedah yang terbaik untuk menyelesaikan kes perbicaraan mahkamah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2015 @ 4:49 AM