Kuala Lumpur: Pemilik haiwan di Utara Semenanjung kini bimbang dengan penularan wabak penyakit anjing gila (Rabies).

Malaysia bebas dari penyakit anjing gila sejak 1999, tetapi malangnya wabak ini kembali di luar jangkaan hingga menyebabkan vaksin tidak mencukupi.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), virus haiwan dijangkiti boleh merebak kepada manusia melalui gigitan dan penting untuk mengurangkan kejadian gigitan atau menghapuskan punca jangkitan.

Akta Haiwan 1953 dan Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang belum diwartakan memberi kuasa yang tidak terhad kepada DVS bagi mengekang wabak ini.

Penaung Persatuan Pencinta Haiwan Selangor (SPCA), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, walaupun SPCA Selangor tidak terbabit di kawasan terjejas, namun pihaknya cemas dalam menunggu Protokol dan Garis Panduan perlindungan haiwan dari DVS.

“Pada masa yang sama kita menerima pendapat dan sumber dari pakar Asia dan Amerika Syarikat. Berdasarkan evolusi wabak yang berterusan di negeri utara, SPCA Selangor akan dan sekali lagi mengetengahkan tindak balas kami untuk memastikan kebajikan manusia dan haiwan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, pihaknya menggesa rakyat Selangor tidak panik, sebaliknya mengambil langkah pencegahan, proaktif dan berjaga-jaga.

“Antara langkah itu ialah memberi vaksin penyakit anjing gila, mengehadkan pergerakan haiwan dengan tidak membawanya ke negeri yang terbabit, membawa berjumpa doktor haiwan jika haiwan peliharaan ada tanda awal seperti demam, kelesuan, hilang selera makan dan perubahan dalam tingkah laku yang ganas.

“Jika digigit anjing, basuh luka dengan segera selama 10 minit dengan sabun dan mendapatkan bantuan perubatan di klinik haiwan berdekatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2015 @ 5:03 AM