ALIMAH menghias rumahnya dengan lebih 100 Jalur Gemilang dan bendera 13 negeri di Malaysia di kediamannya di Tehel.
ALIMAH menghias rumahnya dengan lebih 100 Jalur Gemilang dan bendera 13 negeri di Malaysia di kediamannya di Tehel.
Oleh Nor Shafinaz Sari

Jasin: Wanita patriotik. Itulah ungkapan sesuai bagi Alimah Md Salleh, 58, yang mengumpul dan menyimpan 100 Jalur Gemilang serta bendera semua 13 negeri di Malaysia dan Wilayah Persekutuan yang diedarkan secara percuma oleh agensi kerajaan melalui program dihadirinya sejak 2001 bagi menghias kediamannya di Kampung Solok Serompong, Tehel, di sini, sepanjang bulan kemerdekaan.

Berikutan kesempitan hidup, dia tidak mampu untuk membeli Jalur Gemilang atau bendera negeri di Malaysia.

Justeru, dia amat menghargai setiap helai bendera yang diberikan secara percuma kepadanya.

“Sebahagian daripada bendera diperoleh ketika menghadiri program yang dianjurkan Jabatan Penerangan negeri. Walaupun hidup dalam serba kekurangan, namun semangat kemerdekaan yang ada dalam diri saya melebihi segalanya.

“Minat sama dikongsi dengan arwah abang ipar Hashim Mohd yang juga seorang warga Singapura. Ketika hayatnya, dia sentiasa mengingatkan supaya tidak lupa untuk menghias rumah kami dengan Jalur Gemilang yang menjadi lambang kemegahan sebuah negara merdeka,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2015 @ 9:46 AM