Dua ‘kepala’ kongsi gelap paling berpengaruh dan dikehendaki pihak berkuasa kerana aktif dalam kegiatan jenayah terancang sekitar Teluk Intan, Perak, ditumpaskan dalam beberapa siri serbuan sekitar kawasan berkenaan.

Serbuan bermula jam 9 malam kelmarin hingga 3.30 pagi semalam oleh Unit Khas Kongsi Gelap D7 Bukit Aman hasil risikan dan penyamaran lebih sebulan.

Sumber memberitahu, selain dua ketua kongsi gelap daripada kumpulan 04 dan Geng 21 itu, sepuluh lagi orang kanan organisasi haram itu ditahan dalam serbuan berkenaan.

“Semua yang ditahan berusia 30 hingga 40 tahun. Dua daripada mereka ketua kongsi gelap kawasan berkenaan iaitu Geng 21 dan 04,” katanya.

Menurutnya, selain terbabit kegiatan memeras ugut peniaga sekitar kawasan itu, dua kumpulan terbabit turut mengancam pemilik syarikat pembinaan jalan raya.

“Kedua-dua kumpulan itu turut disyaki terbabit dalam kegiatan pergaduhan, perjudian dan beberapa kegiatan jenayah terancang lain,” katanya.

Katanya, polis merampas pelbagai senjata tajam daripada kedua-dua kumpulan itu.

Katanya, penahanan ketua dan orang kanan dua kumpulan kongsi gelap di kawasan berkenaan diyakini menyelesaikan puluhan kejadian jenayah didalangi mereka.

“Penahanan kepala dan orang kanan dua geng kongsi gelap ini diyakini mampu melumpuhkan sepenuhnya kegiatan pertubuhan haram di kawasan berkenaan,” katanya.

Katanya, mereka kini ditahan di Balai Polis Teluk Intan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Bukit Aman Datuk Roslee Chik ketika dihubungi, mengesahkan penahanan berkenaan dan mereka disiasat mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 Pindaan dan Pemerluasan 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2015 @ 5:16 AM