Wan Sukairi (dua dari kanan) bersama tetamu jemputan selepas selesai menyaksikan filem Mat Kilau. Foto Media Wan Sukairi Wan Abdullah
Wan Sukairi (dua dari kanan) bersama tetamu jemputan selepas selesai menyaksikan filem Mat Kilau. Foto Media Wan Sukairi Wan Abdullah
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Syamsul Yusof untuk pembikinan filem pahlawan Terengganu, Haji Abdul Rahman Limbong dan Tokku Paloh.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pembikinan filem tokoh sejarah Terengganu itu penting untuk tatapan generasi muda selain kesedaran kepada orang Melayu.

"Saya berpandangan idea yang baik untuk menerbitkan filem dua tokoh sejarah Terengganu iaitu Haji Abdul Rahman Limbong dan Tokku Paloh jika itu kaedah terbaik untuk mengetengahkan dan membangkitkan kesedaran orang Melayu dan Islam terutamanya di Terengganu mengenai sejarah negeri.

"Apa salahnya kita melabur dan bekerjasama dengan pengarah terkenal, Syamsul Yusof untuk pembikinan filem berkenaan mengenai perjuangan ulama dan tokoh sejarah negeri yang berjuang habis-habisan untuk mempertahankan bumi Terengganu daripada penjajah.

"Lagipun sebenarnya kita sudah memulakan lebih awal iaitu sekitar tiga tahun lalu memberikan penerangan mengenai sejarah Terengganu yang memfokuskan kepada dua pejuang terbilang berkenaan.

"Sekiranya kita belum lagi menerbitkan filem berkenaan, kita tidak akan berhenti memberi penerangan kepada generasi muda khususnya mengenai perjuangan tokoh sejarah negeri.

"Kita akan terus gerakkan siri penerangan mengenai sejarah Terengganu dengan menjemput pakar sejarah daripada universiti tempatan untuk memberikan penerangan secara berterusan lebih-lebih lagi negara bakal menyambut Hari Kemerdekaan pada bulan depan," katanya ketika ditemui selepas menyaksikan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan bersama belia Wakaf Mempelam, dekat sini, malam tadi.

Mengulas filem arahan Syamsul itu, beliau menjelaskan isi kandungan filem berkenaan berjaya menaikkan kesedaran khususnya generasi muda mengenai siapa sebenarnya Mat Kilau dan ramai lagi pejuang Islam terbilang tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2022 @ 7:44 PM