Nadiah menunjukkan piala serta plak anugerah khas kepada ayah dan ibunya.
Nadiah menunjukkan piala serta plak anugerah khas kepada ayah dan ibunya.
Oleh Syahid Sokri

Jitra: Doa tanpa jemu daripada ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan untuk berjaya dalam bidang pelajaran, memberi kegembiraan buat Nadiah Mohamad Hashim, 22, yang merangkul Anugerah Pengarah Kecemerlangan dan Kokurikulum pada Konvokesyen Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) ke-29, di sini, semalam.

Malah, Nadiah yang juga graduan Diploma Pemasaran dan berasal dari Kampung Mahsun, di sini, tidak pernah menjadikan aktif dalam bidang kokurikulum di kampus sebagai alasan untuk mencapai cita-citanya.

Anak keempat daripada lima beradik itu berkata, dia sangat gembira apabila diumumkan sebagai pelajar terbaik pada konvokesyen berkenaan.

“Anugerah ini adalah berkat doa kedua ibu bapa saya iaitu Nor Shena Aman, 50, dan Mohamad Hashim Othman, 53, yang tidak pernah putus kerana saya tahu mereka pasti tidak pernah lupa akan mendoakan kejayaan saya dalam bidang pelajaran setiap kali selepas solat.

“Sama seperti adik-adik saya yang sentiasa memberikan sokongan moral terbaik kerana sentiasa menghubungi saya setiap kali sebelum peperiksaan bagi memberi kata-kata perangsang.

“Saya mahu menjadi contoh buat dua lagi adik yang masih bersekolah dengan memastikan mereka turut berusaha untuk menjadi pelajar terbaik,” katanya.

Nadiah berkata demikian ketika ditemui selepas menerima anugerah berkenaan disampaikan Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim pada konvokesyen berkenaan di Dewan Wawasan, di sini.

Dia berkata, selain itu, teknik belajar secara berkumpulan juga banyak membantu dirinya untuk mudah memahami apa yang diajar oleh pensyarah ketika berada di kelas selain kerap melakukan ulang kaji bagi mengekalkan ingatan.

Menurutnya, walaupun aktif dalam aktiviti taekwando, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) dan Kelab Pemasaran, kegiatan luar yang diikuti sebenarnya banyak mencorakkan pemikiran untuk sentiasa berfikir di luar kotak.

“Melalui kegiatan kokurikulum, ia banyak membantu saya untuk menjadi lebih berkeyakinan dan membentuk peribadi dan sahsiah diri terutama dalam pembelajaran,” katanya yang bercita-cita menyambung pengajian ke peringkat seterusnya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang sama.

Sementara itu, sekumpulan empat pelajar Jabatan Kejuruteraan Awam turut diumumkan menerima Anugerah Pengarah Projek Terbaik untuk kerja kursus tahun akhir pada konvokesyen sama.

Mereka ialah Muhamad Amir Mohd Ederis, 22, Mohmad Azrai Fitri Mat Desa, 22, Mohd Aiza Ghazali, 24, dan Nur Amalina Abd Rahim, 22, sangat bersyukur selepas projek Pencabut Rumput Elektronik yang diilhamkan mereka berjaya memperoleh anugerah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2015 @ 9:03 AM