PEMUDA ditemui mati di dalam sebuah kereta di Taman Wah Kiong dekat Kampung Simee.
PEMUDA ditemui mati di dalam sebuah kereta di Taman Wah Kiong dekat Kampung Simee.
Oleh Muhammad Apendy Issahak

Ipoh: Seorang pembantu restoran ditemui mati dalam sebuah kereta yang diparkir di tepi padang Jalan Solok Wah Keong, Taman Wah Keong, di sini, pagi semalam, dipercayai akibat terhidu asap daripada arang yang dibakar dalam kenderaan berkenaan.

Mayat lelaki berusia 23 tahun itu ditemui kira-kira jam 7.45 pagi oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan apabila terlihat asap di dalam kereta sebelum menghubungi polis.

Difahamkan, ketika ditemui, satu daripada cermin kecil di bahagian belakang sebelah kiri kenderaan itu dipecahkan, namun tidak diketahui sama ada ia berpunca daripada usaha orang awam untuk menyelamatkan mangsa atau tindakan individu tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan menyamun mangsa yang meninggal dunia kerana dompet mangsa dipercayai turut hilang.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam yang memaklumkan seorang lelaki terbaring dalam sebuah kereta jenis Honda Accord yang diletak di tepi padang di kawasan berkenaan.

“Sepasukan polis kemudian ke lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan mendapati mangsa, Chin Jian Cong terbaring di tempat duduk pemandu selain menemui arang yang masih terbakar dalam satu periuk di bahagian bawah tempat duduk penumpang hadapan.

“Turut dijumpai satu bungkusan arang yang belum digunakan di tempat duduk bahagian belakang,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, pihak perubatan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) yang sampai di lokasi kejadian, kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia dan pemeriksaan pada tubuh mangsa tidak menemui kesan luka atau lebam.

“Mangsa dipercayai meninggal dunia akibat terhidu asap daripada arang yang dibakar dalam kereta dan siasatan turut mendapati pintu kenderaan mangsa ditutup ketika ia ditemui, namun tidak berkunci.

“Setakat ini, kes disiasat sebagai mati mengejut dan mengenai dakwaan mengatakan mangsa disamun selepas meninggal dunia dalam kenderaan terbabit, polis akan menjalankan siasatan sekiranya ada saksi yang menyalurkan maklumat,” katanya.

Sementara itu, menurut ahli keluarga mangsa yang ditemui di lokasi kejadian, mangsa anak bongsu daripada enam beradik dan tinggal di kawasan taman berkenaan serta dipercayai mengalami tekanan perasaan sejak akhir-akhir ini.

“Dia keluar dari rumah sejak pagi semalam (kelmarin) menaiki kereta bapanya dan tidak pulang ke rumah sejak itu, namun pagi tadi (semalam) kami dikejutkan dengan berita daripada penduduk setempat mengenai penemuan mayatnya di tepi padang berhampiran rumah kami.

“Beberapa hari sebelum ini, dia meminta wang daripada bapanya namun tidak menyatakan tujuan meminjam wang berkenaan dan kami sekeluarga tidak menyangka dia mempunyai masalah hinggalah kejadian ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2015 @ 8:59 AM